Rabu, 4 Mei 2016

Sedutan Buku Aku Student Medik

Kasihan Adik- Adikku.

( cerita diubahsuai sedikit sebanyak)

Hari ini dalam sejarah, saya di kurniakan Allah untuk mengalami sesuatu yang tak pernah dialami. Allah jumpakan saya dengan orang–orang yang saya tak pernah terfikir akan berjumpa, malah boleh bertemu ramah serta mengambil banyak pengajaran dari pegalaman itu.

Hari ini, saya dapat jumpa tiga orang adik yang melahirkan. Kesemuanya belum kahwin,
Anaknya nampak kelihatan sama sahaja dengan anak orang lain. Pipinya merah, matanya sepet, dibedung dengan lampin putih. Kalau tak tanya, nampak mereka sama sahaja dengan baby lain.

Si ibu pakai baju hospital semuanya. Pink baju. Pink kain..Seolah-olah sama dengan si ibu yang lain. Si anak atas katil anak. Tidur dengan nyenyak. Bau harum baby. Bau ubat pun ada.

Adik pertama yang saya jumpa. Sekali tengok, nampak macam seorang cina. Tengok kat papan kenyataan, Melayu sebenarnya. Kemudian saya pergi berhampiran katilnya untuk menemu ramah. Kemudian  saya tanya dia : 
“Kahwin bila puan?”   
“Masa bulan dua.”

Tahulah bahawa dia mengandung sebelum bernikah rupanya.

Saya cuba untuk  tidak menampakkan muka terkejut. Saya cuba untuk tidak mengubah riak muka. Saya teruskan saja tersenyum macam biasa. Macam tak terkesan langsung dengan ayatnya itu. Kemudian saya  tanya lagi :

"Oh, masa pergi periksa kandungan dan disahkan mengandung dulu  dengan siapa?"

Dia pun cakap :
" Pergi dengan  ayah dia ( ayah baby tersebut).”

"Macam mana lepas dapat tahu, kerkejut?" 
"Lelaki itu terima tak bahawa itu adalah anaknya?"

" Terkejut, memang kami sangat terkejut." 
" Tapi dia nak anak ni, dia sanggup nak jaga."

Anaknya dilahirkan melalui operation. Alhamdulillah. Walaupun mereka sudah tergelincir. Tersalah langkah, tapi  masih berperikemanusiaan dan ingin  menjaga anak, masih mahu bertanggungjawab. Semoga hidayah Allah untuk mereka, semoga taubat mereka diterima.


Kemudian, saya pergi menemuramah lagi seorang remaja, baru berumur 17 Tahun. Tapi fikiran saya awal-awal dah terdetik  dan takut takut macam kisah adik pertama tadi , kemudian saya cuba menepis fikiran jahat, dan cuba  abaikan apa yang minda mulai terfikir. Saya cuba menemuramah  betul-betul.  Tak naklah hokum-menghukum  ini. Takut tersalah menilai. Berdosa tak pasal-pasal.

Saya tanya :
"Bila tarikh kahwin ya, puan?”

Dia kata :
“Tak. Saya tak kahwin sebenarnya. Biasalah Kak,  budak- budak  zaman sekarang. Sosial sangat. ( Dia berkata dengan kata-kata  itu, merujuk kepada dirinya sendiri).”

Rupanya betul, kisahnya sama dengan kisah adik pertama tadi. Melahirkan anak tak sah taraf rupanya…Melahirkan bayi  pramatang . Baru mengandung 33 minggu, dah melahirkan. ( Normal adalah 38 hingga 40 minggu). Kecil lagi baby yang sedang dalam pelukannya itu...Sedang tidur...comel sangatKemudian datang seorang lelaki...Membawa beg untuknya...

Kemudian saya  terfikir lagi , Inikah lelaki yang adik itu cerita tadi? Tapi nampak baik dan bertanggungjawab saja gayanya. Urm, kalau jumpa dekat luar, mesti tak akan pernah terfikir mereka sudah berbuat perkara mungkar itu. (Hanya dihospital, saya tahu ini semua)

Sangkaan saya  meleset, sangat meleset rupanya.

Adik tu cakap, ayah budak itu melarikan diri. Tidak mahu bertanggungjawab. Si lelaki yang bawa beg itu bakal suaminya, bukan ayah budak tu....dia mahu dan sanggup jadi pak sanggup...dia baik...sangat baik…

“Ohhh, baiknya dia...Sanggup."

Kemudian, saya mulai rasa penat. Saya pergi berehat-rehat di satu bilik yang dikhususkan untuk sesiapa saja untuk rehat...Saya lepak-lepak sebentar sebelum balik. Berseorangan sahaja.

Beberapa ketika, ada seorang ustaz  dari pejabat agama) datang. Ustaz tersebut cakap :

"Maaf ya doktor, nak tumpang bilik ini sekejap. Ada nak bincang sesuatu dengan beberapa remaja dalam  wad ini."

Saya pun cakap :

“Eh, boleh. Boleh sangat. Saya pun sebenarnya student lagi ni, bukan doktor.” (Mungkin sebab saya pakai white coat sama macam doctor yang membuat ustaz itu berfikir sebegitu)

Ustaz bersoal jawab dengan seorang remaja perempuan. Cantik orangnya. Tapi dia tidak bertudung. Kemudian disebabkan ustaz dan adik itu bercakap agak kuat dibilik itu, Saya terdengar semua apa yang diceritakan....sesekali terjampuk juga, bertanya ustaz itu.
Nak tahu apa salah adik tu? 

Kisah adik ketiga ini juga sama macam adik pertama dan adik kedua yang saya ceritakan di cerita di atas. Dia juga telah melahirkan hasil perbuatan dia dengan pakwenya...Zruppp...Ini adik yang ketiga saya jumpa hari ni....Ketiga-tiga mereka telah "terlanjur".                                                                                  Bukan dirosakkan. Tapi buat suka sama suka.

Astaghfirullah…
Astaghfirullah…

Dengar juga monolog dalam diri :

“Wahai diri, kamu tega melihat sahajakah adik adik seagamamu menjadi begitu?
Kamu buat apa untuk agama ini? Ada kamu buat dakwah bersungguh sungguh untuk remaja seperti mereka mengenali Islam?”

Kemudian saya  terdengar lagi kata-kata dari mereka…

Ustaz cakap : 

“Awak ni, dik,  kenapa tak sabar sangat ni, kenapa tak kahwin awal–awal kalau rasa tak sabar sangat. Tengok ni, akhirnya “terrrr”  jugak. Susah lah kalau dah “terrr- terrr” ini.  Mak ayah awak tahu tak yang awak dah beranak ni? Parents awak bukan orang semenanjung kan?”

Dia cakap...Mak tak ambil tahu sangat...Mak ayah marah lepas saya revert ( Masuk Islam)....

Ustaz : 
“Awak betul  ke beragama Islam ni? Pakwe yang “buat” awak tu Melayu?”

Adik 3: 
“Ya. Saya Islam. Saya revert sebelum saya mengandung lagi. Saya masuk agama ini secara rela. Tidak ada orang yang paksa. Ya Ustaz, pakwe saya orang melayu. Sebenarnya saya banyak belajar dari dia. Saya nak cuba belajar solat dan agama.”

Ustaz : 
“Awak tahu solat tak? Habis pantang ni. Cepat-cepat  kahwin tau. Kalau tak, nanti ustaz report naik mahkamah ikut undang-undang ( ustaz buat suara  tegas, betul-betul nak suruh dia cepat-cepat  kahwin)…Tak nak dah keluar-keluar malam tanpa nikah. Tak mahu dah liar-liar macam dulu. Boleh janji dengan Ustaz?”

Kemudian ustaz memanggil adik kedua, yang saya telah temu ramah tadi. Saya tersenyum, dia membalas. Salah satu kata-katanya dalam pembincangan dengan Ustaz,  yang saya rasa susah nak lupa adalah…

Ustaz:  
“Betul bakal suami itu nak jaga awak? Awak yakin dia tak akan pukul anak awak nanti?”

"Kita tak tahu, apa yang akan berlaku di masa depan kan Ustaz. Tapi setakat ini, bakal suami saya ni baik. Kalau tak, tiadalah dia naik motor semalam dari jauh semalam dalam hujan. Dia datang  ke sini selepas  mengetahui bahawa saya masuk hospital sebab nak bersalin. Dia sahaja yang menunggu saya dari luar ketika  saya bersalin. Dia juga yang banyak habiskan duit beli barang-barang baby saya ini.

Ayah ( sebenar) baby ni, tak nak jaga saya dan baby. Tapi dia ada mesej kepada saya dan kata, kalau anak lahir, bagitahu dia, sebab dia nak tengok...

Ustaz, saya nak cerita sesuatu. Sebelum ini kawan majikan saya ada offer nak “beli”  anak saya ini. Dia bersungguh-sungguh nak beli dengan harga Rm10 000. Sejak akhir-akhir ni dia selalu call saya untuk bertanyakan hal itu. Tapi saya tak nak bagi kat dia Ustaz, letih-letih saya mengandungkan  baby saya, sakit bersalin sangat- sangat. Ingat  senang senang ke saya nak jual kat dia?” 

( Sebenarnya lelaki itu ingin menjual anaknya  kepada satu keluarga yang nak ambil anak angkat, dah macam broker tanah pula gayanya, dia nak untung yang banyak melalui jual anak)

Saya yang mendengar dari tadi terasa sangat terharu. Dirasakan nak menangis saat tu. Betapa adik ini masih mempunyai hati. Masih baik dan sangat boleh dibentuk, masih sangat menyayangi anaknya. Dia tidak seperti orang lain yang sanggup membuang dan membunuh baby begitu sesuka hati. 

Sebenarnya,  dia jadi begitu sebab tidak ada orang pernah  hiraukannya. Selepas mak dengan ayah bercerai...keluarganya lintang pukang. Kasihan sangat. Disebabkan salah ibu bapa, dia yang jadi mangsa. Dia mendapat kurang kasih sayang dari keluarga, maka membuatnya mencari kasih sayang dari yang tak sepatutnya. ( melalui bercouple)

Saya bermuhasabah seketika, 

Ya Allah, banyak sangat pengajaran yang saya dapat hari ini, moga Allah terima taubat akan dosa besar yang adik adik ini lakukan. Mereka berbuat perkara yang tak sepatutnya sebab  mereka jahil akan agama, mereka tidak tahu banyak benda. Maafka saya Ya Allah, saya kurang buat kerja dakwah. Ampunkan dosa saya, Ya Allah.

Adik 1: Alhamdulillah dapat pakwe yang nak bertanggungjawab.
Adik 2: Alhamdulillah dapat pak sanggup yang baik.
Adik 3: Alhamdulillah dapat masuk Islam selepas kenal pakwe...Walaupun kecundang dengan nafsu akhirnya...Masih sempat taubat dik!!!



Adik adikku, kak mahu share ayat yang Allah bagitahu untuk pendosa seperti kak dan kalian :

"...Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." 
(Surah al-Baqarah : 216)

“Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah an-Nisaa' :110)

Ini hadis best untuk kita hayati...

“Aku bersumpah dengan nama Allah yang menggenggam jiwaku. Jika kamu adalah dari hambanya yang tidak melakukan dosa, Allah akan menggantikan kamu dengan satu golongan yang melakukan dosa kemudian bertaubat, supaya Allah boleh memaafkan mereka.” 
( H.R Muslim )

Jika rasa ada melakukan dosa. Ada harapan lagi untuk kita berubah dan berubah. Mungkin jika anda itu bertaubat, anda mungkin jadi orang  jauh lagi baik berbanding kami yang tidak melakukan dosa-dosa tersebut, tapi sentiasa fikir kami sudah baik.

2 ulasan:

  1. Salam Cik Amalina, hari ni saya dapat manfaat & pengajaran dari penulisan & kisah pengalaman awak, terima kasih :)

    BalasPadam
  2. Alhamdulillah..maaf Baru baca komen awak ni..

    BalasPadam