Saya hadiahkan pahala ilmu yang bermanfaat ini kepada diri, ibubapa dan ahli keluarga. Sebarkan.
Memaparkan catatan dengan label Motivasi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Motivasi. Papar semua catatan
Jumaat, 8 Mei 2015
Bicara Ain dengan Najah
Ain : Najah, aku ada hal nak tanya kau ni. Aku selalu terfikir dimindaku tidak mungkinlah dengan meninggalkan solat dan tidak menutup aurat boleh melayakkan seseorang itu masuk neraka? Bukanlah berbuat jahat seperti membunuh atau murtad pun. Allah tak kan lah " sekejam" itu kan?.
Najah : Baiklah. Aku nak timbulkan satu persoalan lain pula. Kalau kita terfikir nak tanya soalan itu, kenapa kita tidak bertanya pula soalan ini," Takkan lah dengan melakukan amalan semudah solat 5 rakaat dan sesenang menutup aurat, ianya dah membolehkan kita dapat tiket ke syurga? Sungguh mudah sahaja kedua benda itu untuk dibuat. Budak semuda darjah satu pun boleh buat. Kenapa kau tak terfikir nak tanya kenapa Allah " sebaik" itu?
Ain : Eh, betul juga soalan kau, kenapa ya aku tak terfikir akan hal itu. Tapi kan, bukan ke kau selalu kata yang Allah itu sangat penyayang, Maha Pengampun dan banyak sifatNya yang lain yang baik. Bukankah nanti Allah akan kasihani manusia- manusia yang banyak berbuat dosa ketika malaikat ingin memasukkan manusia tersebut kedalam api neraka. Bukan begitu ke?
Najah : Itu yang sering kali kita sebagai manusia terlupa. Disaat kita mengetahui bahawa Allah itu Maha Penyayang, tapi adakah kita betul - betul membalas akan sayangNya? Kita tahu dia Pengampun, adakah kerap kali kita memohon ampun kepada Dia? Namun, Kita juga mungkin lupa nama - nama Allah di Asmaul Husna, bahawa disebalik Maha Pengasihnya Allah, Dia juga Maha Mengazab, Dia jua lah yang Maha Membalas. Awak tak ingat ke kisah kaum Nabi Lut? Tak ingat juga kisah kaum nabi Nuh diazab? Tak ingat kisah Qarun dan Firaun? Mereka sudah diberi seorang nabi untuk menunjukkan jalan yang lurus, tetapi mereka sombong dan berpaling, seterusnya Allah mengazab mereka ketika didunia lagi. Mereka tak dengar peringatan yang sudah diberi banyak kali. Mereka menutup telinga dan kepala.
Ain : Bukan aku tak ingat, aku memang tak tahu pun kisah-kisah yang kau sebut tu. Aku jahil, Najah.Tapi Najah kan, aku dah sangat lama tidak bersolat. Lama sangat tidak mengaji dan membaca ayat- ayat Allah. Malah aku juga dengan percumanya banyak kali menayangkan rambut dan aurat aku kepada bukan yang halal, adakah aku layak untuk dimaafkan? Aku rasa bahawa aku seorang yang jahat tapi aku tidak tahu bagaimana caranya nak bertaubat dengan sebenarnya.
Najah : Alhamdulillah kau dah sedar, lama aku menunggu untuk mendengar ayat seperti ini keluar dari mulut kau, dah bertahun aku cuba doakan kau, aku tag nama kau dekat tazkirah yang aku tulis di Facebook aku. Aku pernah senyap- senyap memasukkan mp3 ceramah dalam telefon kau. Aku pernah masukkan pamplet tazkirah dalam beg tangan dan celah- celah buku kau. Kalau kau nak tahu, aku sangat menanti detik ini. Maha Suci Allah. Sungguh aku lah orang yang paling bahagia saat ini.
Ain, kau kan ada aku, kau boleh tanya apa sahaja pasal Islam kepadaku, aku akan cuba jawab apa yang aku tahu. Selain itu kau banyakkan solat sunat taubat, berdoa dengan bersungguh- sungguh semoga Allah mengampunkan dosa- dosa yang kita sengaja buat ataupun tidak sengaja. Jangan malu nak tanya aku apa- apa yang kau tidak tahu, macam cara nak baca apa dalam solat, nak mulai mengaji alquran bagaimana. Kalau tak padai arab, kau boleh berdoa banyak-banyak dan bersungguh- sungguh walaupun walaupun menggunakan bahasa melayu kau tu. Aku yakin dan pasti bahawa Allah faham dan mendengar apa yang kau minta. Aku boleh tolong setakat yang aku mampu kerana aku juga banyak lagi perkara yang aku perlu pelajari.
Petikan Kata-Kata Tentang Solat
1) Orang yang tidak bersolat akan merasakan hidupnya banyak masalah. Dia seorang yang tidak tenang, cepat marah dan susah nak menerima kenyataan juga dia akan selalu nampak salah dan kelemahan orang lain. Ustaz azhar Idrus
2. Walaupun ayah kita penagih dadah sekalipun, bila dia suruh solat, kita sebagai anak WAJIB untuk menunaikannya. - Ustaz Kazim Elias
3. Tidak solat punca utama penceraian dalam rumahtangga? "Jaga solat...Insyallah bahagia..."- Ustaz Don Daniyal
4. Selalulah Solat berjemaah walau sesusah macam mana sekalipun, boleh jadi pahala solat berjemaah itu dapat membekalkan pahala berlipat ganda. - Datuk Ismail Kamus
5.Kalau kita sakit jangan takut untuk bersolat. Paling-paling pun kalau mati ketika itu, kita mati dalam solat - Ustaz Haslin
6. Selepas solat jangan tergesa-gesa, baca Subhanallah 33, Alhamdulillah 33, Allahuakbar 33, doa kemudian baru bangun”- Al-Habib Ali Zainal
7. Kalau orang yang solat pun belum tentu masuk syurga, apatah lagi orang yang meninggalkannya.-Tuan Guru Syeikh Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki 8-Jangan cakap ayat "Kamu pergi solat, kalau tak solat, kamu akan masuk api neraka!"Tapi cakaplah “Jom solat, nanti kita masuk syurga Allah sama-sama.Insya Allah – Tuan Guru Harun Din"
10. Kalau dalam solat kita tidak dapat ingat Allah, mana mungkin di luar solat kita mampu ingat Allah. -Ustaz Pahrol
Kecelakaan besar, pada hari itu, bagi orang-orang yang mendustakan (amaran Allah). Dan apabila dikatakan kepada mereka (yang ingkar): "Taatlah dan kerjakanlah sembahyang", mereka enggan mengerjakannya.
(Al-Mursalaat 77:47-48)
(Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): "Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?"
Orang-orang yang bersalah itu menjawab: "Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang;
(Al-Muddathir 74: 42-43)
Kita ini Bagus atau Hebat ?
Kalau awak orang miskin, dan awak akan kurang berbelanja, Awak mungkin belum lagi ZUHUD, tapi awak sedang nak jimat bajet awak kan?Awak seorang yang BAGUS.
Awak insya Allah adalah seorang yang ZUHUD bilamana keadaan yang awak kaya, tapi awak ambil sedikit sahaja dari harta yang Allah bagi, harta yang lain selebihnya banyak diberi kepada orang lain. Awak seorang yang HEBAT.
Kalau awak seorang yang banyak bercakap, kemudian awak banyak bagi peringatan dan dakwah mengunakan kata-kata awak, awak seorang yang BAGUS.
Tapi, kalau awak seorang pendiam, tapi paksa juga diri untuk memberi tazkirah dan teguran. Awak seorang HEBAT.
Kalau awak seorang yang selalu dalam keadaan "silent mode" kemudian awak kurang mengumpat, awak seorang yang BAGUS.
Jika awak adalah keturunan dan dari spesis "Burung Murai", kemudian awak menahan diri dari banyak mengata, mengeluh, mengumpat Bagi saya dan disisi agama, saya yakin anda adalah seorang yang HEBAT.
Tak kisahlah bahawa kita ini hanya BAGUS, ataupun HEBAT,
Namun usaha kita untuk menjadi seorang yang BAGUS, kemudiannya menjadi HEBAT itu pasti dilihat Allah. Semoga kita mendapat pahala melalui usaha tersebut.
Beratkah Masalah ?
Ketika memberikan kuliah Management Stress, seorang pensyarah mengangkat segelas air dan bertanya kepada para siswanya: “ Cuba anda semua teka berapakah agaknya berat segelas air ini?”
Para siswa menjawab bahawa gelas tu beratnya antara 200 gram hingga 500 gram.
“Ini bukanlah masalah berat semata-mata, tapi bergantung berapa lama anda memegangnya,” kata pensyarah itu kemudiannya. Kemudian dia menyambung kata:
Kemudian pelajarnya mulai berfikir apa yang ingin disampaikan oleh pensyarah mereka itu. Ada yang membuat muka berkerut-kerut kerana tidak faham.
“Jika saya memegangnya selama 1 minit, pasti tidak ada masalah kan?. Jika saya memegangnya selama 1 jam, lengan kanan saya pasti akan lenguh. Dan jika saya memegangnya selama sepanjang 1 hari , mungkin anda harus memanggilkan ambulan untuk saya. Mungkin boleh kebiruan lengan saya ini.
Pengajaranya , berat gelas berisi air itu sebenarnya sama, tidak kira berapa lama saya memegangnya, ia bukan bertambah berat kerana bertambah panjangnya masa. Tapi kerana saya memegangnya secara lama saya secara psikologinya saya akan merasa gelas itu semakin berat..
Begitulah jika nak dianalogikan dengan masalah dalam hidup kita sebenarnya. Mungkin hakikat masalah yang kita rasa berat dan besar itu bukanlah sebesar manapun sebenarnya. Namun kita berterusan memikirkan dan menanggungnya dengan lama tanpa menyelesaikannya sedikit demi sedikit yang membuat kita merasakan bahawa masalah tersebut tersangatlah berat dan tidak ada jalan penyelesaian untuknya.
Berkepentingan untuk diri
Seorang senior cuba mendekati seorang junior yang sedang duduk bersendirian. Senior itu sangat peramah dan banyak bertanya dan berkenalan dengan junior itu, kemudian berlakulah perbualan dibawah :
Junior : Kak, maafkan saya, tapi kalau saya nak tanya kepada kak sedikit boleh?
Senior : Mestilah boleh, bukankah kak pun ada banyak tanya awak tadi? Tanya banyak pun tidak mengapa dik.
Junior : Tapi jangan marahkan saya kak ya. Kenapa kak baik sangat dengan saya ni? Kakak-kakak lain tak macam kak, malah tidak bertegur sapa pun dengan kami adik- adik junior ni, malah kakak-kakak lain tak senyum pun, apatah lagi bertaaruf macam apa yang kak buat. Kak, errr, sebenarnya kak ni ada maksud tersirat ke? (Tanya Junior itu dengan sedikit takut namun keinginannya untuk tahu meningkat).
Senior: Oh, bagaimana adik boleh tahu ni? Maafkan kak ya dik, tapi sememangnya kak memang ada maksud tersirat pun. Malah kak sedang ada berkepentingan untuk diri sendiri sebenarnya. (sambil tersenyum manis)
Junior: Kenapa kak? Apa maksud kak sebenarnya ni? Semakin tidak faham saya kata-kata kak.
Senior: Begini sebenarnya, kak memang ada niat dan maksid tersirat dihati kak pun. Niat kak buat baik kepada awak, maksud kak beramah mesra dengan awak kerana ada sebab. Iaitu kak nak Allah murahkan rezeki kak dengan mengeratkan silaturrahim sebegini, kak nak kebaikan yang Allah dah janjikan iaitu akan dipanjangkan umur sesiapa yang berusaha mengeratkan hubungan sebegini. Kak minta maaf ya dik, macam berkepentingan juga kan kak ni.
Junior : Kak!!! Baiknya kak. Saya nak jadi macam kak jugalah! Saya nak aplikasikan sikap berkepentingan sebegini ketika nak berbaik dan bersilaturrahim dengan kawan-kawan malah dengan senior saya yang lain. Terima kasih kerana bagi saya satu Ilmu berharga pada hari pertama saya disini. Kak, boleh tak saya nak jadi adik angkat kak?.
Senior : InsyaAllah, boleh. Silalah amalkan, nanti kak beroleh pahala kebaikan yang awak buat.
Bertahan Ketika Diuji
Di sebuah Muzium barangan antik, terdapat satu binaan kaca cantik yang menarik perhatian orang ramai oleh kerana halus dan teliti buatannya. Pada suatu hari batu seramik yang berada dilantai dan selalu dipijak orang berkata kepada binaan kaca cantik tersebut.
Kemudian berlakulah perbualan ini:
Seramik lantai : Wahai binaan kaca, kenapa kamu selalu dicuci dan disanjung tinggi malah dikenali ramai padahal kita berasal dari bahan yang sama. Aku selalu tidak dihiraukan dan selalu dipijak.
Hiasan cantik : Kamu lupa ke dulu, dihari tuan kita ingin membentuk dan mengukir kita mengikut bentuk yang diingininya, kamu enggan kerana tidak tahannya sakit dan panas . Aku juga sakit dan panas ketika itu tapi aku sanggup bertahan kerana aku tahu ianya berbaloi. Kini aku sedang menikmati kesenangan kerana pengorbananku dulu.
Kemudian seramik lantai itu terus berdiam dan dia tidak pernah lagi komplain.
Begitulah kita, disaat kita diuji Allah, kita merasa Allah tidak menghiraukan kita, kita juga sering beranggapan yang Allah tidak sayangkan kita. Namun Allah sudah memberitahu kita melalui Al quran sebenarnya bahawa Dia bukan memberi semua perkara yang kita MAHUKAN tetapi Allah itu Maha Mengetahui akan apa yang akan terjadi, maka Dia hanya memberi apa yang kita PERLUKAN.
"…Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (Al Baqarah 2: 216)
Orang Kata Dan Saya Kata
Orang kata: Saya tak cantik atau hensem...Mesti best kan jadi cantik atau handsome macam artis-artis?
Saya kata : Bersyukurlah awak tak cantik sangat macam model, macam pramugari kerana semakin tak cantik dan biasanya kecantikan awak, semakin awak kurang menjadi perhatian penjahat-penjahat diluar sana...Semakin kurang awak dikacau... Dan kalau disenaraikan, awak mungkin menjadi sasaran pilihan mereka yang akhir-akhir barangkali. Mungkin kan?. Bukankah bagus begitu kerana kurang juga kemungkinan akan diganggu?
Orang kata: Tapi, nanti tiada orang yang berminat kepada saya, macam mana?
Saya kata: Tipulah, ramai jer yang wajahnya tersangat cantik yang masih tak kahwin-kahwin, yang tak cantik tapi dah kahwin dan bahagia sangat ramai di luar sana. Jangan risau, kalau ada jodoh, pasti akan ada. Kerana jodoh tidak mengira rupa.
Orang kata: Tapi saya kulit tak putih, tak cerah macam orang walaupun dah pakai bedak banyak- banyak...sedih betul.
Saya kata: Kenapa nak sangat dipuji orang, kenapa nak sangat cantik dimata orang? Kalau awak nak orang suka awak sebab awak cantik, awak nak ke orang tinggalkan awak ketika awak tak cantik nanti?. Bagaimana pula jika muka awak tak okey jika awak ditakdirkan kemalangan atau adakah kecantikan itu masih ada jika awak sudah tua nanti?.
Orang kata: Allah tengok tak kita cantik tak?
Saya kata: Tak, Dia tak tengok rupa kita yang zahir, kerana apa yang Dia tengok adalah tahap taqwa kita. Taqwa yang letaknya dihati. Betapa Bilal bin Rabah yang berkulit sangat hitam pun, tetapi sangat tinggi darjatnya disisi Allah. Mungkin wajah beliau tidak hensem untuk dikenali manusia, tapi azannya dapat didengari penduduk Langit. Dia seolah dapat Anugerah Bintang Paling Popular di kalangan makhluk sana. Bukankah sangat hebat dan istimewanya Bilal itu?.
Allah yang Sama
Kalau nak menghidupkan orang yang dah mati Allah boleh buat, kemudian nak bagi Tsunami juga banjir dengan cepat pun Dia boleh. Nak menenangkan dan menyerabutkan orang pun Allah mampu. Kerana Allah Maha Berkuasa. Takkan lah kita merasakan Allah yang sama itu tidak boleh tolong selesaikan masalah kita?
Bukankah kita mepunyai banyak masalah,tapi berapa ramai sahaja antara kita yang sedar untuk meminta tolong dengan “ yang sepatutnya” kita memohon pertolongan. Yakni Allah. Ingatkah kita pada Allah pada awal kita menerima setiap masalah? Selalukah kita mengadukan masalah kita yang selalu mudah tertekan itu,mudah ditipu, sering gagal peperiksaan, merasakan diri tak pandai sangat itu kepada-Nya?
Kita lupa bahawa dia yang menciptakan dan menguji kita dengan pelbagai masalah tersebut pasti bersebab. Dia mahu kita mencariNya kembali. Dan sudah semestinya amat mudah bagi Allah untuk menyelesaikannya kerana Dia jualah pencipta dan pemberi masalah tersebut, sudah tentu Dia juga tahu cara penyelesaiannya
Lupakah kita bahawa Allah itu Tuhan yang Esa. Yang satu. Tiada yang akhir dan tiada yang lebih awal selainnya. Dialah Tuhan yang disembah Nabi Adam, manusia pertama. Hanya Dia juga yang akan disembah manusia terakhir kerana Dia Tuhan sekalian alam. Masihkah kita tidak mahu meminta perlindungan danpertolongan dari-Nya?.
Inilah Tuhan yang sama yang menolong Nabi Muhammad yang diugut bunuh oleh kaum Musyrikin. Malah Allah ini jualah yang tolong Nabi Musa menentang Firaun. Juga Dialah yang menyelamatkan dan menyejukkan Nabi Ibrahim dari api yang panas.
Sesungguhnya Dia Tuhan yang Maha Memperkenankan Doa. Seharusnya kita tidak putus-putus meminta dan berdoa kepada-Nya, kerana Allah sudah janjikan bahawa nescaya akan diperkenankan. Bukankah sudah terlalu banyak benda yang kita tak minta pun Allah bagi, mustahil Allah tak bagi apa yang kita minta.
Cuma mungkin pemberian yang diberi ada yang kita rasakan lambat dimakbulkan, mungkin ada yang cepat. Jika kita tidak nampak bahawa doa kita dimakbulkan, mungkin Allah akan menggantikan apa yang diminta itu dengan benda yang lebih baik untuk kita . sesungguhnya Allah Maha Mengatahui dan Dia akan memberi apa yang kita perlu, bukan diberi semua apa yang kita minta.
(Pengikut-pengikut Nabi Musa merayu, lalu) Musa berkata kepada kaumnya: "Mintalah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah, sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah, diwariskannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa".(Al-A'raaf 7:128)
Misal bandingan orang-orang yang menjadikan benda-benda yang lain dari Allah sebagai pelindung-pelindung (yang diharapkan pertolongannya) adalah seperti labah-labah yang membuat sarang (untuk menjadi tempat perlindungannya); padahal sesungguhnya sarang-sarang yang paling reput ialah sarang labah-labah, kalaulah mereka orang-orang yang berpengetahuan.
(Al-'Ankabuut 29:41)
Popular di Langit
Assalamualaikum, di bab kali ini saya ingin mengenalkan seorang yang sangat patut dikagumi, seorang yang boleh kita jadikan contoh, walaupun tidak boleh menjadi betul- betul sebaik dia, paling tidak dia boleh menjadi perangsang kepada kita untuk kita cuba mencontohinya akan kebaikannya.
Namun, susuk tubuh yang nak diceritakan di sini adalah seorang yang langsung tidak dikenali oleh ramai manusia, malah ada yang menganggapnya tidak waras , Namun namanya sentiasa disebut-sebut oleh penduduk langit, menjadi seorang selebriti di kalangan malaikat. Adakah anda boleh teka siapakah dia? Ya, dia adalah Uwais Al Qarni. Apa yang si Uwais ini lakukan sampaikan namanya pernah disebut oleh Rasulullah, walaupun ketika itu dia tak pernah pun bertemu dengan Rasulullah?
Rasulullah pernah berpesan kepada Sayyidina Umar r.a. dan Sayyidina Ali r.a: “Akan lahir di kalangan Tabiin seorang insan yang doanya sangat makbul. Namanya Uwais al-Qarni dan dia akan lahir di zaman kamu nanti. Kamu berdua pergilah mencari dia. Dia akan datang dari arah Yaman, dia dibesarkan di Yaman. Dia akan muncul di zaman kamu, carilah dia. kalau berjumpa dengan dia mintalah tolong dia berdoa untuk kamu berdua.”
Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali lalu sama-sama menanyakan kepada Rasulullah S.A.W:“Apakah yang patut saya minta daripada Uwais al-Qarni, ya Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “ Mintalah kepadanya agar dia berdoa kepada Allah agar Allah ampunkan dosa-dosa kalian.”
Uwais adalah seorang yang sangat menjaga ibunya, keperluan ibunya baginya lebih penting dari keinginannya. Pada suatu hari, ibu Uwais yang semakin tua dan uzur berkata kepada anaknya: “Anakku, mungkin ibu dah tak lama lagi akan bersama dengan kamu, ikhtiarkanlah agar ibu dapat mengerjakan haji.”
Oleh kerana dia adalah anak yang sangat soleh, dia terfikir bagaimanakah caranya untuk membawa ibunya ke Mekah, dalam keadaan kewangannya, memang dia rasa dia tidak mampu. Apa yang dia buat adalah dia membeli seekor anak lembu, kemudian memikul lembu tersebut dari rumah kebukit kerana ingin diberi makan di bukit tersebut setiap hari. Hal ini dilakukan secara berterusan sehingga lama kelamaan, berat lembu tersebut meningkat dari 20 Kg ke 100 Kg.
Mesti anda terfikir, kenapa Uwais pikul lembu tu, tidak boleh ke lembu tersebut berjalan sendiri? Sebenarnya tujuan Uwais melakukan itu adalah untuk melatih dirinya tahan memikul berat disebabkan dia ingin memikul ibunya untuk menunaikan Haji. Dia memikul lembu yang dari kecil dan ringan sehingga ia menjadi besar dan gemuk. Lama kelamaan Uwais sudah kalis menanggung barang yang berat kerana latihannya itu . Sungguh hebat lagi baik kan Uwais ni? Sebegitu sekali dia buat kerana ingin memenuhi hajat ibunya.
Selepas itu ibunya bertanya: “Uwais, apa yang kamu doakan sepanjang kamu berada di Mekah?” Uwais berkata :“ Saya berdoa minta supaya Allah SWT mengampunkan semua dosa-dosa ibu.”
Ibunya bertanya lagi: “ Bagaimana pula dengan dosa kamu?”
Uwais kata: “Dengan terampunnya dosa ibu, ibu akan masuk syurga. Cukuplah ibu redha dengan saya, maka saya juga masuk syurga. ” Pernah juga semasa ibunya meminta agar uwais mendoakan agar disembuhkan penyakit yang Uwais hadapi, Uwais enggan disebabkan dia takut dia menjadi seorang yang tidak bersyukur dengan kejadian Allah jika dia meminta dan berdoa yang demikian, namun kerana emaknya, dia teruskan juga berdoa, cumanya dia memohon agar Allah tinggalkan sedikit tanda sopak itu agar dia sentiasa mengingati bahawa dia pernah sakit. Allah makbulkan doanya dengan meninggalkan kesan penyakit sopaknya sebesar duit syiling.
Subhanallah, itulah Uwais yang sangat hebat, patutlah jika dia berdoa pasti doanya akan dimakbulkan. Jom sama-sama kita berusaha mencontohinya, daripada menagih perhatian makhluk bumi, apa kata kita berusaha memenangi Anugerah Bintang Paling Popular di kalangan penduduk langit pula. Insya Allah.
“ Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak....” (Al-Hadiid 57:20)
BAB 17 : Sistem Kepercayaan
Percayakah anda tentang kewujudan esok? Mestilah kita percaya bukan?
Paling tidak pun, kita mungkin sudah terfikir, esok nak pergi ke mana atau nak pakai baju apa bukan?
Kita merasakan bahawa kita masih akan bangun selepas kita tidur malam ini kan? Kenapa? Kerana kita sudah terbiasa bangun selepas tidur, kemudian kita rasa esok itu “pasti” wujud untuk kita. Sungguh, begitulah apa yang kita fikir pada setiap hari. Kerana setakat ini, pagi kita mata kita masih boleh dibuka, hidung masih boleh menghirup udara. Seolah-olah kita lupa akan sesuatu. Malah jarang sekali kita mengingatinya, apatah lagi diumur kita yang masih lagi muda. Iaitu ketika diri masih merasa akan hidup lama lagi. Anda boleh agak atau tidak apa sebenarnya yang kita sudah lupa?.
Ya, kerap kali kita lupa akan kematian. Walaupun kita tidak lupa sepenuhnya bahawa setiap yang bernyawa pasti akan menemui mati, kita mungkin kurang kesedaran bahawa ia akan berlaku, iaitu ajal pasti akan menjemput kita akhirnya.? Saya juga sering dalam keadaan lupa sebegitu. Baiklah, saya ingin mengajak anda untuk cuba merenung dan ingat kembali, berapa ramaikah orang disekeliling kita yang sudah tiada didunia ini kerana meninggal, mungkin dia adalah nenek, mungkin jiran atau sepupu anda?.
Bukankah umur mereka ketika mati itu pelbagai?. Ada yang muda, yang tua itu pasti ramai. Kerana mati itu pasti. Tidak pelik diangka berapakah umur mereka ketika itu. Berbalik kepada pendahuluan tadi tentang hari esok, kita sambung lagi berbicara tentangnya boleh?. Namun kita kaitkan dengan akhirat. Percayanya sungguh kita bahawa esok itu ada, tapi kenapa kita tidak percaya adanya akhirat? Kemudian aka nada yang berkata sebegini:
“ Eh, saya percayalah, kenapa cakap saya tak percaya?”
Jika kita betul- betul percaya akan wujudnya akhirat dan tahu akan diazab dan dibalas jika tak solat , malah akan dibakar kulit jika tidak menutup aurat, kenapa kita masih tidak betul menjaga perkara tersebut?
Ya, jawapannya adalah ramai diantara kita yang sebenarnya masih “tidak percaya” dan yakin tentang Hari Akhirat. Mungkin percaya kita hanya sekadar percaya, tetapi bukan yakin dengan sebenarnya.
Ada satu contoh yang boleh membuatkan kita lagi memahami konsep percaya ini. Pada suatu hari, seorang pensyarah dating ke bilik kuliahnya dan berkata :
“ Pelajar semua, sila ambil perhatian akan kata-kata saya ini. Pada hari Khamis, iaitu dua hari akan datang, saya akan membuat ujian ringkas kepada anda, markah dari ujian tersebut saya akan masukkan kedalam markah peperiksaan akhir nanti”
Pelajarnya memberi dua respon berbeza. Golongan pertama begitu percaya akan kata-kata pensyarah tersebut dan berusaha bersungguh-sungguh supaya markah ujiannya pada hari khamis adalah tinggi. Manifestasi bahawa mereka percaya pahawa akan ada ujian dua hari lagi itu adalah melalui usaha mereka yang bersungguh-sungguh kearah itu kerana takutkan kegagalan.
Golongan kedua dari pelajar itu pula menunjukkan perangai yang berlainan. Mereka ini kurang percaya kata-kata pensyarah tersenut, maka mereka main-main dalam belajar dan langsung tidak bersungguh-sungguh. Mereka mengira ujian hari khamis nanti hanya ujian biasa seperti yang selalu pensyarah mereka berikan. Mereka kurang ambil cakna.
Langgan:
Catatan (Atom)