Jumaat, 8 Mei 2015

Popular di Langit



Assalamualaikum, di bab kali ini saya ingin mengenalkan seorang yang sangat patut dikagumi, seorang yang boleh kita jadikan contoh, walaupun tidak boleh menjadi betul- betul sebaik dia, paling tidak dia boleh menjadi perangsang kepada kita untuk kita cuba mencontohinya akan kebaikannya.

Namun, susuk tubuh yang nak diceritakan di sini adalah seorang yang langsung tidak dikenali oleh ramai manusia, malah ada yang menganggapnya tidak waras , Namun namanya sentiasa disebut-sebut oleh penduduk langit, menjadi seorang selebriti di kalangan malaikat. Adakah anda boleh teka siapakah dia? Ya, dia adalah Uwais Al Qarni. Apa yang si Uwais ini lakukan sampaikan namanya pernah disebut oleh Rasulullah, walaupun ketika itu dia tak pernah pun bertemu dengan Rasulullah?

Rasulullah pernah berpesan kepada Sayyidina Umar r.a. dan Sayyidina Ali r.a: “Akan lahir di kalangan Tabiin seorang insan yang doanya sangat makbul. Namanya Uwais al-Qarni dan dia akan lahir di zaman kamu nanti. Kamu berdua pergilah mencari dia. Dia akan datang dari arah Yaman, dia dibesarkan di Yaman. Dia akan muncul di zaman kamu, carilah dia. kalau berjumpa dengan dia mintalah tolong dia berdoa untuk kamu berdua.”

Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali lalu sama-sama menanyakan kepada Rasulullah S.A.W:“Apakah yang patut saya minta daripada Uwais al-Qarni, ya Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “ Mintalah kepadanya agar dia berdoa kepada Allah agar Allah ampunkan dosa-dosa kalian.”

Uwais adalah seorang yang sangat menjaga ibunya, keperluan ibunya baginya lebih penting dari keinginannya. Pada suatu hari, ibu Uwais yang semakin tua dan uzur berkata kepada anaknya: “Anakku, mungkin ibu dah tak lama lagi akan bersama dengan kamu, ikhtiarkanlah agar ibu dapat mengerjakan haji.”
Oleh kerana dia adalah anak yang sangat soleh, dia terfikir bagaimanakah caranya untuk membawa ibunya ke Mekah, dalam keadaan kewangannya, memang dia rasa dia tidak mampu. Apa yang dia buat adalah dia membeli seekor anak lembu, kemudian memikul lembu tersebut dari rumah kebukit kerana ingin diberi makan di bukit tersebut setiap hari. Hal ini dilakukan secara berterusan sehingga lama kelamaan, berat lembu tersebut meningkat dari 20 Kg ke 100 Kg. 

Mesti anda terfikir, kenapa Uwais pikul lembu tu, tidak boleh ke lembu tersebut berjalan sendiri? Sebenarnya tujuan Uwais melakukan itu adalah untuk melatih dirinya tahan memikul berat disebabkan dia ingin memikul ibunya untuk menunaikan Haji. Dia memikul lembu yang dari kecil dan ringan sehingga ia menjadi besar dan gemuk. Lama kelamaan Uwais sudah kalis menanggung barang yang berat kerana latihannya itu . Sungguh hebat lagi baik kan Uwais ni? Sebegitu sekali dia buat kerana ingin memenuhi hajat ibunya.

Selepas itu ibunya bertanya: “Uwais, apa yang kamu doakan sepanjang kamu berada di Mekah?” Uwais berkata :“ Saya berdoa minta supaya Allah SWT mengampunkan semua dosa-dosa ibu.”
Ibunya bertanya lagi: “ Bagaimana pula dengan dosa kamu?”

Uwais kata: “Dengan terampunnya dosa ibu, ibu akan masuk syurga. Cukuplah ibu redha dengan saya, maka saya juga masuk syurga. ” Pernah juga semasa ibunya meminta agar uwais mendoakan agar disembuhkan penyakit yang Uwais hadapi, Uwais enggan disebabkan dia takut dia menjadi seorang yang tidak bersyukur dengan kejadian Allah jika dia meminta dan berdoa yang demikian, namun kerana emaknya, dia teruskan juga berdoa, cumanya dia memohon agar Allah tinggalkan sedikit tanda sopak itu agar dia sentiasa mengingati bahawa dia pernah sakit. Allah makbulkan doanya dengan meninggalkan kesan penyakit sopaknya sebesar duit syiling.

Subhanallah, itulah Uwais yang sangat hebat, patutlah jika dia berdoa pasti doanya akan dimakbulkan. Jom sama-sama kita berusaha mencontohinya, daripada menagih perhatian makhluk bumi, apa kata kita berusaha memenangi Anugerah Bintang Paling Popular di kalangan penduduk langit pula. Insya Allah.

“ Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak....”  (Al-Hadiid 57:20) 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan