Jumaat, 8 Mei 2015

Maafkanlah



Didalam kehidupan kita yang bermasyarakat yang sungguh banyak kali terpaksa berhubungan dengan ramai orang, pasti akan ada silap dan salah faham yang boleh mengguriskan hati ramai pihak. Samada kita yang tersakit hati atau kita membuat orang lain sakit hati. Semoga di bab ini boleh membuka minda dan fikiran kita tentang tajuk memaafkan. Semoga tiada istilah forgive but not forget lagi. Semoga kita dapat meniru sikap dan cara orang- orang soleh terdahulu tentang bagaimanakah cara mereka menghilangkan marah mereka disaat mereka terkena situasi yang sangat genting. Jika perkara tersebut berlaku kepada kita mungkin agak sukar untuk kita menyebut apatah lagi mengaplikasikan perkataan memaafkan disituasi tersebut.

Sebelum itu, saya ingin bertanya kepada pembaca sekalian, adakah salah untuk kita berasa marah jika ada yang melakukan sesuatu kepada kita apa-apa yang kita tidak suka? Sebenarnya marah itu adalah fitrah seorang manusia. Seperti kata Imam Syafi'i tentang marah adalah, “Kalau orang melakukan kesalahan kepada kita dan kita tak marah, kita adalah keldai. Namun jika seseorang yang membuat silap dan sudah meminta maaf, namun kita masih tidak mahu memaafkan, kita adalah syaitan". Itu menunjukkan bahawa memang patutlah kita marah jika ada seseorang berbuat kepada kita benda yang kita tidak suka, namun seseorang itu tidak harus untuk tidak memaafkan jika orang yang melakukan kesilapan itu sudah meminta maaf.Imam Syafii tidak berkata bahawa orang yang tidak mahu memaafkan itu umpama seperti syaitan, tapi orang itu adalah syaitan. Sungguh tegas dan agak keras bunyinya ayat tersebut.

Kisah lain yang agak membuat saya tertarik adalah kisah cicit nabi Muhammad yang bernama Imam Ali Zainal Abidin. Beliau adalah anak kepada Saidina Husin, cucu Rasulullah. Pernah satu ketika, seorang dari hambanya terjatuhkan cerek keatas kepala Imam Ali, kemudian mukanya terus bertukar merah. Itu menunjukkan bahawa dia sedang marah.  Kemudian hambanya membaca ayat dari surah Ali imran iaitu ayat 134, yakni ayat tentang ciri orang bertaqwa. Kemudian setelah mendengar ayat tersebut, mukanya terus bertukar menjadi lembut dan semakin sejuk. Kemudian hambanya terus membacakan ayat seterusnya tentang memaafkan kesalahan orang lain, akhirnya ayat terakhir yang dibaca adalah tentang Allah mengasihi orang yang berbuat perkara kebaikan, selepas itu, Imam Ali terus membebaskan hamba tersebut kerana Allah.

Ayat apakah yang dibaca oleh hamba tersebut, ini ayatnya;
“Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan (menelan) kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik; (Ali Imran: 134)


Didalam ayat tersebut Allah menceritakan ciri- ciri orang bertaqwa, iaitu salah satunya adalah orang yang menelan marahnya. Disini kita dapat mengetahui bahawa sebenarnya orang beriman juga sebenarnya layak mempunyai sifat marah kerana dia juga seorang manusia biasa, namun apa yang membezakan orang beriman dengan orang lain adalah dia berusaha menelan marahnya. Bagaimanahka mahu menelan marah sebenarnya? Penggunaan perkataan telan adalah analogi bahawa kita tidak akan nampak perbuatan menelan seperti apa yang kita nampak jika seseorang sedang dalam keadaan menggigit atau mengunyah. Begitulah juga jika seseorang sedang menelan marahnya. Dia akan menelan marahnya sehingga marahnya itu tidak lagi kelihatan. Jarang diantara kita boleh untuk menunjukkan muka yang neutral jika sedang dalam keadaan marah apatah lagi menunjukkan senyuman bukan?. Majoriti dari kita, walaupun tidak memarahi menggunakan kata- kata, muka pasti akan berubah masam mencuka. Itulah beza kita dengan orang yang bertaqwa sebenarnnya.

Ada juga kisah tentang seorang cicit nabi, ketika anaknya masih kecil lagi, salah seorang hambanya terjatuhkan sesuatu barang keatas anaknya sehinggalah meninggal anaknya. Setelah mengetahui akan hal itu, riak mukanya terus bertukar kerana marah yang teramat. Namun, seketika kemudian dia berkata dengan penuh keimanan dan tenang, “Kerana Allah aku bebaskan kamu".

Ada orang pernah bertanya kepada seorang ustaz, ada seseorang telah berbuat sesuatu yang telah mengakibatkan anaknya meninggal, dia bertanya adakah dia seorang yang tidak redha akan ketentuan Allah jika dia tidak memaafkan orang tersebut?

Ustaz tersebut kemudian menjawab, “Redha tu bukan kita kena sentiasa senyum disaat anak kita meninggal begitu. Memang patut jika kita ingin bersedih dalam keadaan diuji sebegitu. Tapi maksud redha sebenar adalah kita masih menunaikan perintah Allah disaat berlakunya ujian tersebut. Ketika diuji sebegitu, kita masih menunaikan solat dan melaksanakan perintahNya yang lain, juga meninggalkan apa yang dilarang. Paling kurang pun awak dah pasti dengan matinya anak awak yang kecil itu, dia mendapat syurga. Dia adalah ahli syurga yang Allah titipkan sebentar kepada awak, kemudian diambilNya balik. Anak awak yang lain, belum tentu status syurga neraka mereka dan kita tidak tahu adakah nanti awak akan banyak didakwa atau disoal tentang dosa-dosa mereka.

Imam Ali pernah dimaki ketika sedang berceramah. Ketika itu dia berada dihadapan ramai orang. Tetapi apa yang hebat dengan Imam Ali adalah dia tidak memarahi kembali orang yang memakinya itu. Namun apa yang dia kata adalah " Tuan, Tuan kata saya bodoh, tak guna, jahat dan sebagainya tadi. Sifat- sifat semua itu memang benar-benar ada dalam diri saya, tapi Tuan belum cukup kenal diri saya. Sebenarnya saya lebih teruk dari apa yang saudara sebutkan tadi. Terima kasih atas nasihat Tuan."  Subhanallah, dengan wajah yang tersenyum dan tenang dia berkata begitu. Kemudian dia menyambung " Adakah kamu nak apa-apa balasan atau hadiah kerana kamu telah menegur keburukan dan kelemahan saya?"

Kemudian orang yang memakinya tadi terus merasa lemah longlai dan kemudian dia menangis, kemudian dia berkata "Tadi ada orang cabar saya supaya buat cicit nabi ini marah.” Katanya “Kalau boleh buat dia geram sampai dia marah kamu balik, dan jika kamu dapat, kamu akan diberi sekian - sekian ribu dinar.”
Imam Ali kemudian berkata " Kalau kamu cakap awal-awal lagi tentang hal itu, kamu tidak perlu pun memaki aku, aku boleh bagi kamu duit sebanyak itu. Kemudian dia berpaling kearah sahabatnya di sebelah dan berkata " Kamu adakah duit sebanyak yang disebut itu?, Kalau ada, bagi kesemua duit itu kepadanya"

Maha suci Allah, sifat inilah yang patut ada bagi setiap orang Islam sebenarnya. Itu baru kisah cicit nabi, kisah teladan tentang sifat memaafkan yang sangat hebat dan penuh dengan keimanan. Bagaimana pula sifat pemaaf Rasulullah?, Pastinya baginda seorang yang lagi hebat dan mantap bukan?. Kita bandingkan kembali, berapa banyak dan teruk sangatlah kesilapan yang orang sekeliling kita berbuat kepada kita sehinga kita susah untuk memaafkan mereka, berbanding apa yang dihadapi oleh orang yang didalam kisah diatas. Tetapi oleh kerana keimanan dan lembutnya hati mereka, mereka memaafkan kerana Allah. Mereka tahu bahawa mereka selalu memohon ampun dan maaf kepada Allah dan berharap agar permohonan itu diterimaNya, tidak mungkin pula mereka tidak menjadi pemaaf akan kesilapan makhluk Allah yang lain.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan