Andai saya tiada lagi di dunia ini, saya ingin sangat post-post Facebook saya dishare, tulisan-tulisan saya memberi manfaat kepada sebanyak mungkin orang agar bertambah pahala saya kemudian ia boleh jadi pencen kubur saya. Mungkin anda pertama kali mendengar istilah pencen kubur ini kan?. Apakah sebenarnya pencen kubur itu?
Semua antara kita pasti inginkan pahala yang berpanjangan walaupun kita sudah tidak hidup lagi didunia ini. Jasad kita mungkin akan ditelan bumi dan dimamah ulat, namun amal jariah kita yakni ilmu yang bermanfaat masih boleh membuat kita mendapat pahala secara berterusan kerana pahala “pencen” kita masih ada, seperti orang yang berkerja, ketika pencen, masih boleh dapat gaji walau sudah tidak bekerja ketika itu.
Jom hayati sebentar hadis ini:
“ Barangsiapa mengajar orang lain kepada suatu petunjuk, maka dia akan mendapatkan pahala seperti pahala orang yang melaksanakan petunjuk itu, tanpa mengurangi pahala mereka sama sekali” (HR Bukhari)
Kenapa saya nak sangat pencen kubur itu? Saya kena bersedia menyediakan pencen kubur itu kerana pahala saya mungkin sangat sedikit. Mungkin terlalu kurang berbanding dosa yang dibuat yang mungkin sudah berberbakul-bakul , dan mungkin juga berguni-guni malah sudah mencapai tahap infinity. Terlalu banyak sehingga tidak boleh dikira lagi walaupun secangih manapun kalkulator yang digunakan.
Andai saya tiada lagi, saya takut sangat jika ada gambar-gambar Facebook saya yang secara tidak secara sempurna aurat saya ditutup, kemudian ianya dilihat orang padahal pada ketika itu, password Facebook saya, hanya saya yang tahu. Maka pada ketika itu, orang lain sudah tidak boleh tolong memadam gambar juga tulisan saya yang mungkin tak berapa nak baik itu. Kemudianperkara tersebut akan berterusan dilihat orang lain, kemudian ia boleh menjadi pencen dosa pula pada saya, padahal ketika merasai gelapnya kubur pada masa tersebut, apa yang diharapkan pahala yang datang menerangi dan bukannya dosa yang mampu memadamkan lampu penerang saya dikubur.
Saya juga sangat merasa takut, jika ada orang-orang disekeliling saya, mereka masih belum sempat saya tegur dan saya dakwah, walaupun saya tahu akan kesalahan mereka kerana mereka melakukan hal tersebut didepan mata saya, kemudian saya tahu dan sedar ianya salah tapi saya masih tak buat apa-apa.
Mungkin ada yang akan berkata begini disaat saya menyuarakan kerungsingan saya tentang ini :
“Eh. Kenapa emosional sangat ni ? Dah nak mati ke? Ada cerita pasal kubur segala bagai. Kejap, awak ada penyakit apa-apa yang saya tak tahu ke ?
Tidak! Kita tak perlu nak kena sakit dulu, baru kita layak mati. Mati itu pasti dan boleh sahaja berlaku pada bila-bila masa. Ya, tidak semua orang yang meninggal mereka dalam keadaan bersedia dan boleh mengagak ajalnya semakin hampir seperti orang yang sudah sakit lama mahupun sakit kerana tua. Betapa ramai lagi yang tidak disangka sangka sampai ajalnya pada usia yang sangat muda. Malah ada yang bukan sahaja menemui ajal didarat, malah tidak ramai yang pergi menemui Ilahi dalam keadaannya meninggal lemas dilaut, mahupun ditembak dan dibom ketika diatas kapal terbang.
Ya, mati itu pasti. Boleh sahaja bila-bila masa Allah ingin mengambil balik nyawa yang dipinjamkan sekejap cuma ini kepada kita. Maka kita seharusnyalah bersedia dengan buat perkara yang boleh menjana pencen kubur yang banyak. Seperti ramainya orang selalu ingin berkerja makan gaji sebab boleh duit pencen walau sudah berhenti dan berehat pada masa itu. Mengapa pula kita lengah dan lalai dalam menyediakan pencen yang boleh menjadi lampu penerang, kawan peneman, juga penyelamat dari diazab di kubur nanti? Pada saat itu hanya amal soleh, sedekah jariah dan doa anak soleh yang kita sangat dambakan dan harapkan.
Pada ketika itu, sudah tiada talian hayat untuk dihubungi lagi, mungkin jika adanya talian hayat ketika itu, kita akan menelefon anak-anak dan akan cakap: “ Anakku, ambil semua harta aku, sedekahkan kepada rumah anak yatim, tolong bina Maahad Tahfiz untuk melahirkan ramai hafiz hafizah, kau jadilah anak soleh, baru boleh bawa mak ayah ke Syurga sebab pahala kami tidak mencukupi ni!” Mana mungkin kita boleh buat begitu bukan? Kalau nak beramal, beramal lah ketika kita masih hidup, ketika hidung masih mengenal apa itu oksigen, mata masih mengenal apa itu cahaya, kerana dikubur nanti kita tidak boleh langsung berhutang pahala dengan Allah seperti berhutangnya manusia dengan Ah long ketika tersempit dan di situasi terlalu tiada duit.
Ketika itu mungkin kita akan merasa sangat bersyukur kerana ada sedikit amalan yang kita pernah buat iaitu mungkin melalui sedikit amal jariah kita, melalui sedikit sedekah kita. Pada ketika itulah kita akan dalam keadaan terdesak dan ingin menagih pahala yang mungkin kita derma sebanyak RM1 dekat masjid pada suatu ketika dahulu, dan kemudian kita mungkin akan berkata : ” Ya Allah, kenapakah aku tak menderma RM100 pada hari tu, aku bagi RM1 sahaja padahal dalam dompet aku ada sejumlah wang RM 1000. Alangkah aku menyesal. Sungguh aku menyesal”
Mungkin juga pernah terdetik dihati kita menginginkan pencen kubur melalui anak yang soleh . Tapi ramai yang tidak sedar bahawa kalau mahu anak mereka menjadi anak yang soleh, seharus dan sepatutnya dia dulu lah yang menjadi soleh dan solehah itu supaya menjadi contoh teladan . Pada ketika dikubur nanti, ilmu yang bermanfaat juga boleh menolong kita. Mungkin apa-apa ilmu yang anda kongsi kat Facebook, mahupun ada sedikit kata-kata anda yang diajar dan diamalkan oleh orang lain boleh menyentuh dan memberi manfaat yang banyak kepada orang lain. Maka jom jadikan Facebook, buku dan Blog kita sebagai medan untuk orang lain dapat ilmu yang bermanfaat kerana dengan itu secara automatik kita memperoleh pahala yang tidak putus-putus. Bukankah sangat beruntung jika terjadi begitu?
Dan (ketahuilah), seseorang pemikul tldak akan memikul dosa perbuatan orang lain; dan jika seseorang yang berat tanggungnya (dengan dosa), memanggil (orang lain) untuk menolong memikul sama bebanan itu, tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya, walaupun orang yang diminta pertolongannya itu dari kerabatnya sendiri.
Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah memberi peringatan kepada orang-orang yang takut (melanggar hukum-hukum) Tuhan semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, serta mereka mendirikan sembahyang. Dan sesiapa yang membersihkan dirinya (dari segala yang dilarang) maka sesungguhnya ia melakukan pembersihan itu untuk kebaikan dirinya sendiri dan (ingatlah), kepada Allah jualah tempat kembali. (Faatir 35:18)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan