Jumaat, 8 Mei 2015

Jernih Atau Tidak Jernih


Anda rasa ada banyak masalah dan selalu sahaja merasa jiwa anda berserabut dan berfikiran kusut?
Jantung pula selalu rasa berdebar-debar macam ada tanda-tanda terkena heart attack?
Lama sudah tak merasai perasaan tenang dan selalu sahaja ingin marah-marah tidak mengira masa dan tempat?. Atau anda susah ingin mengaplikasikan marah pada waktu yang betul, untuk perkara yang betul, pada orang yang betul  juga menggunakan intonasi kata yang betul?. Cuba checklist sebentar. Renungkan sekejap. Adakah anda banyak berperasaan negatif?



Jika anda mempunyai ciri-ciri diatas, anda kena cari jalan penyelesaian tentang bagaimanakah caranya mahu mengubati masalah itu kerana disaat anda merasai semua perasaan yang negatif itu, ada segelintir lagi golongan positif yang berada di luar sana yang sudah lama tidak berasa pun ingin marah-marah tanpa sebab, malah boleh lagi tenang apabila dimarahi juga selalu senyum dan nampak bahagia selalu. Dari luar sudah nampak cahaya  orang beriman dari wajahnya yang suka senyum itu. Wah, sungguh luar biasa kan golongan kedua itu?.

Nak tahu  tak apa rahsianya? Sudahkah anda bersedia? 

Tapi anda haruslah  baca betul-betul dibab ini dan cuba untuk menghayatinya malah seterusnya berusaha untuk  mengaplikasikan barulah ilmu ini menjadi mujarab dan berkesan, tak boleh sekadar baca-kemudian-lupa-balik sahaja. Begitulah sesuatu ilmu, ia akan menjadi “ masin” jika diamalkan. 

Barulah ada rasa. Bukan sekadar  tawar sahaja. Cuba baca dengan hati anda yang paling dalam itu sedikit “rahsia” yang saya ingin kongsikan ini.

Apa yang rahsia sangat sebenarnya?


Sebenarnya sepanjang saya hidup  sehingga buku ini ditulis, saya perasan yang sejak dari kecil saya seorang yang suka memerhati keadaan hidup orang lain. Walaupun orang nampak saya adalah seorang yang agak senyap tapi saya suka tengok keadaan  orang disekeliling saya. 


Dari pemerhatian saya setakat ini adalah saya sering melihat wujudnya  satu golongan iaitu golongan pertama yang dipanggil golongan “ Keladak”  iaitu terdiri dari  jenis orang yang tak menjaga solat dan tidak menutup aurat juga suka sangat mengumpat, dan kesannya mereka kelihatan dan nampak kurang bahagia dimata saya.  

Malah hidup mereka sering dalam keadaan gelisah dan stress dan mudah menjadi magnet untuk selalu dimarahi kemudian menjadi seseorang yang suka memarahi orang lain pula. Mereka juga suka mengumpat dan selalu diumpati seterusnya musibah dan balasan  Allah datang menimpa-menimpa melalui kehilangan harta benda dan tidak kurang melalui mendapat keluarga yang bermasalah.
 
Malah ada yang sentiasa ditimpa kemalangan, namun kebanyakan antara agaknya mereka kurang menyedari bahawa itu adalah teguran dari Tuhan yang Esa dan mungkin mereka mengira itu hanya cubaan hidup yang dilalui semua orang termasuklah mereka. Bila ditegur dan dinasihati, mereka berkata, " Eh, tidak lah, aku bukan seorang yang negatif. Hidup orang lain pun lebih kurang sahaja macam aku ini "Atau, “  Biasalah banyak masalah, bukan hidup semua orang pun penuh dengan tekanan juga ke?”.  

Mereka seolah-olah sudah teradaptasi dalam hidup yang penuh bermasalah itu. Oleh kerana kesuluruhan dari hidup mereka dipenuhi masalah, kemudian masalah lagi, mereka lupa untuk berubah. Mereka tidak menyedari bahawa mereka bermasalah oleh kerana diri mereka sendiri. Mereka mempunyai masalah oleh kerana dosa-dosa yang belum ditaubati. Mereka kurang sedar akan hal ini.
   

                                                                                                                                                                  
Sungguh berbeza dengan golongan kedua iaitu golongan “ Jernih “ yang saya jumpa. Bukannya mereka tak  pernah tertekan malah selalu juga terkena dalam situasi yang sering dimarahi tapi apa yang hebatnya mereka ini adalah mereka  masih boleh mengekalkan ketenangan apabila dimarahi atau menghadapi situasi tegang.  Mereka juga diuji dengan masalah tapi mereka cepat sedar selalu berfikir untuk mencari solusi. 

Malah  ketika mereka juga melalui semua itu, tetap ketika mereka diuji, maka bertambah-tambah pula mereka mendekati Allah kemudian semakin mereka rasa ingin bermuhasabah dan merasa Allah sedang menegur kelakuan mereka melalui ujian yang datang tersebut . Malah disetiap saat hidup mereka, mereka sering bertanya  "Allah redha atau tidak apa yang aku buat sebenarnya ni.?". Sungguh, saya melihat mereka sangat bahagia. Bahagia dalam nikmat keimanan.

Saya teringat akan satu cerita yang seorang ustaz ceritakan mengenai timbulnya masalah dalam hidup kita adalah kerana dosa kita. Bagi yang sentiasa istiqamah bertaubat dan  beristighfar  dan sedar bahawa manusia pasti tidak boleh lari dari melakukan melakukan dosa, dia seorang yang sangat bagus. Akan tetapi jika seseorang yang lain sering tidak sedar akan kesalahannya, Allah akan mencuba menghapuskan dosa itu melalui ujian dan masalah disepanjang hidupnya. Itu diantara tanda kasih sayang Allah. Mungkin diberi sedikit kemalangan, diuji dengan , kehilangan dompet, diuji dengan anak bermasalah untuk menjadi sebab terhapusnya dosa dosa yang tidak ditaubatkan. 

Malah itu adalah lebih baik kerana diberi ujian untuk menjadi sebab keampunan Allah akan dosa kita, berbanding seseorang yang diberi istidraj iaitu hidupnya sering bahagia walaupun dia seorang yang selalu melakukan dosa, kerana dosa-dosanya akan dikumpulkan  untuk dibalas di akhirat nanti.

Ayuh sama-sama kita merenung diri bahawa digolongan manakah kita selama ini?. Jernihkah kita?. InsyaAllah kita cuba menjadi yang itu. Jika keladak?. Kita cuba menjernihkan yang keladak itu agar menjadi jernih pula.

Andai kata kita masih termasuk dalam golongan pertama yang agak negatif, belum terlambat untuk kita berubah sekarang.  Ya. Sekarang . Tapi bagaimana?.  Cuba kita buat teknik  “ Diriku- sekarang-kecil” . Cuba mulai perubahan itu dengan diri sendiri dahulu dan mulai sekarang juga serta berubah dengan perkara yang kecil dahulu. Mulai berubah dari tidak solat kepada solat, dari mengumpat kepada bercakap perkara baik, dari selalu negatif menjadi positif. InsyaAllah, jika anda ingin berubah kearah kebaikan, Allah pasti akan memudahkan jalan anda. Percayalah.


Semoga Allah hadiahkan kita istiqamah pula dalam perubahan, selepas digerakkan hati kita agar ingin berubah kearah kebaikan seperti saat ini. Disaat anda terbaca buku ini, ini adalah satu petujuk untuk anda menyedari bahawa rupanya ada dua golongan dalam kehidupan ini, iaitu golongan ‘ jernih’ dan ‘ keladak’. Maka, menjadi tanggungjawab anda untuk merubah diri jika merasakan belum ‘jernih’ kearah yang lebih ‘jernih’. Jom menjadi golongan ‘ jernih’ yang selalu bertaubat akan dosa, dan memikirkan disetiap masalah yang datang adalah ujian untuk menjadikan kita lebih baik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan