Jumaat, 8 Mei 2015

Muslimkah Aku


BAB 9 : Muslimkah aku?

Cuba anda berhenti membaca sejenak dan merenung dan mengira kedalam diri anda, sekarang anda sedang berumur berapa? Mungkin anda seorang remaja berumur belasan tahun, mungkin anda adalah pelajar universiti yang berusia dalam kalangan 20-an, malah anda juga berkemungkinan pak cik dan mak cik yang lebih tua daripada saya, yang tentunya lagi banyak pengalaman daripada saya. 

Bolehkah anda cuba menjawab soalan saya ini sejujur mungkin didalam hati anda Ya, anda tak perlu menjawabnya kepada sesiapa, ianya hanya perlu dibayangkan didalam hati atau fikiran anda sahaja. Soalannya adalah, apakah yang anda faham dari perkataan Islam. Apakah maksud dan makna Islam pada anda? Adakah Islam itu hanya sekadar satu agama yang anda anuti secara keturunan dari mak ayah atau datuk nenek anda sahaja?  Ataupun adakah Islam itu langsung tidak memberi apa-apa kesan kepada diri anda?. Adakah pernah terdetik dihati anda untuk memahami apa itu Islam sepanjang sejak anda " memeluk" Islam sehingga keumur kini?. Tahniah jika anda berjaya mendapatkan jawapan anda sendiri bagi menjawab  soalan saya ini.

Kini, sungguh ramai yang menganggap Islam itu hanya satu label atau slogan sahaja. Oleh kerana itulah mereka tidak merasakan apa- apa yang perlu mereka perbuat untuk umat manusia yang lain dengan bergelarnya seorang muslim ini. Bagi mereka, cukuplah dengan mereka dan keluarga menjadi baik dan melaksanakan apa yang Allah perintahkan, meninggalkan apa yang dilarang sahaja, kemudian dengan gembiranya mereka hidup mengamalkan Islam sendirian, tanpa mereka terfikirkan masalah umat Islam yang lain, tanpa mereka pedulikan berapa ramai lagi umat Islam yang lain dan masih terkapai-kapai dengan title " sudah Islam" tersebut. Mungkinkah kita juga termasuk mereka itu?. Adakah kita masih boleh duduk diam dan tenang setelah mengetahui bahawa mungkin kitalah “mereka itu?.”
Untuk memberi jawapan kepada persoalan ini, saya ingin berkongsi apa yang seseorang pernah katakan kepada saya, " Cuba anda bezakan antara dua perkataan ini, ayat yang pertama adalah " Ahmad Makan" manakala yang kedua pula adalah " Ahmad makan". Nampak tak apa-apa perbezaan dikeduanya?. Di ayat pertama, ayat makan dimulai dengan "M" yang berhuruf besar iaitu ia berkemungkinan mewakili kata nama khas, iaitu Makan itu boleh jadi nama seseorang, iaitu Ahmad Makan. Manakala di perkataan makan di ayat kedua digunakan huruf "m" yang berhuruf kecil, iaitu ia merujuk kepada penggunaan perkataan makan yang bermaksud perbuatan. Iaitu mungkin Ahmad makan nasi. Cukup berbeza kan makna perkataan "makan" di ayat " Ahmad Makan" dan " Ahmad makan"?

Begitu juga aplikasinya dengan perkataan Islam, kita tanpa sedar telah menggunakan perkataan Islam itu dengan huruf "I" iaitu huruf besar dan hanya menjadikan ianya sebagai kata nama khas, bukannya kata kerja. Kita belum mempraktikkan Islam yang sebenar sebagaimana perkataan Islam itu sendiri yang asalnya dari ayat bahasa arab yang merujuk kepada perbuatan. Ya, Islam yang sebenar adalah Islam yang seharusnya dipraktikkan kerana asal perkataannya sendiri adalah dari perkataan kata kerja.

Maka dengan keislaman kita, kita dipertanggungjawabkan dengan banyak " kerja". Dengan muslimnya kita, kita dipertanggungjawabkan untuk memanifestasikan syahadah kita iaitu menjadi saksi yang jujur yang menceritakan tentang kebenaran bahawa tiada ilah ( sembahan) selain Allah, dan Nabi Muhammad pesuruh Allah kepada yang belum tahu.  

Ya, kerja kita adalah menjadi seorang saksi, iaitu saksi yang jujur, bukan saksi yang bisu, bukan juga saksi yang palsu. Namun, jika kita sendiri masih belum tahu akan tugas kita, bagaimana pula kita ingin ber" kerja" ?. Begitu juga jika kita belum merasai dan menghayati dengan sebenarnya syahadah yang saban kali kita lafazkan, bagaimana mungkin pula kita ingin menggugah hati- hati lain untuk turut menikmati syahadah tersebut bukan?. Pokoknya adalah muhasabah diri dan tanya diri, " Adakah aku telah mengamalkan Islam secara seluruhnya selama ini?".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan