Jumaat, 8 Mei 2015

Peringatan



Bagi setiap yang bernama manusia pasti akan pernah ditegur bukan?.Tegur yang saya maksudkan bukanlah tegur 'hai' atau ' hello', malah  tegur disini adalah yang bermaksud teguran penambah baikan atau peringatan samada ianya datang dari sahabat, mungkin juga dari yang lebih muda ataupun tua dari kita. Apakah perasaan anda apabila anda ditegur akan sedikit kekhilafan diri dikebanyakan masa? 

Mungkin keegoan anda akan sedikit meninggi dan anda akan cuba mempertahankan bahawa apa yang anda buat itu betul. Malah mungkin sahaja seseorang yang ditegur itu cuba mencari sebanyak mungkin kelemahan dan kekurangan si penegur pula, supaya kesalahannya tadi dipandang kecil sahaja dimata si penegur.

Anda sahaja yang tahu anda itu bagaimana, jadi, cubalah bermuhasaba sebentar melihat balik kedalam diri kita, adakah apa yang kita buat sebelum ini adalah sudah cukup betul ataupun kita adalah seorang yang selalu mempertahankan ego semata serta membalas balik kata- kata si penegur sehingga orang lain sudah takut dan serik untuk menegur kita jika kita melakukan kesalahan lagi pada masa yang lain. Sudah dapat bayangkan diri anda ketika ada yang menegur?. Adakah kita pernah berterima kasih kepada orang yang memberi peringatan kepada kita itu? Adakah kata- kata sinis sahaja yang keluar dimulut kita disaat hati sedang membara itu?.

Sudah menjadi lumrah manusia, pasti akan melakukan kesalahan walau di mata manusia, dia mungkin begitu sempurna. Walaupun dia seorang yang "perfectionist" sekalipun, sudah tentu pasti ada kelompongan dalam perbuatannya walaupun sekelumit cuma kerana dia juga manusia biasa. Jadi setiap yang bernama manusia itu akan pernah melakukan kesilapan dan semestinya layak ditegur akan kekhilafan tersebut. Malah, manusia sesempurna Rasulullah pun pernah ditegur Allah. Adakah anda masih ingat akan kisah Rasulullah yang ditegur Allah dalam Surah Abasa?.


Berdasarkan kisah tersebut, kita dapat mengambil banyak pengajaran darinya. Betapa Rasulullah, manusia terbaik dan terpelihara dari melakukan dosa pun ditegur Allah, siapa kita untuk tidak menerima teguran orang lain, apa yang hebat sangat kita ini sehingga kita merasakan apa yang kita buat itulah yang terbaik? 

Allah sudah memberi contoh yang paling jelas tentang sifat ego didalam Al Quran, iaitu kisah iblis yang angkuh dan merasakan dialah yang paling hebat, dirasakan dirinya tidak layak sujud kepada  Nabi Adam yang hanya berasal dari tanah sahaja. Dirasakan dirinya sahaja yang hebat.

Apabila ada yang cuba membaiki kesilapan kita, menegur kekhilafan kita, anggaplah bahawa Allah lah yang menghantar dan menggerakkan hati orang tersebut untuk nampak kesilapan kita, supaya kita menjadi lebih baik dari sebelumnya kerana kita juga biasanya lebih nampak akan kekurangan orang lain dengan lebih cepat berbanding  kesalahan diri sendiri. 
Analoginya begini, bayangkan bahawa anda pada suatu hari, sebelum sampai ke kampus, kemudian kawan anda memanggil anda dari belakang,sambil teragak-agak dia berkata:

"Eh, baju awak terkoyak lah kat belakang. Sebesar duit syiling koyak tersebut, tak kan awak nak ke kelas pakai guna baju tu?"

Bagaimanakah respon anda ketika itu?Adakah anda marah kerana anda malu ditegur sahabat anda itu ataupun anda akan berterima kasih dan bersyukur anda ditegur ketika itu? Jika tidak, anda pasti ke kampus dengan baju terkoyak tersebut dan sudah tentu anda akan sangat malu dengan keadaan itu kepada ramai lagi orang. Anda rela malu dengan seorang yang anda rapat berbanding jika digelakkan ramai orang lain ketika dikampus.

Kesimpulannya, jika ada yang menegur akan keburukan dan kelemahan anda, Sepatutnya anda kena bersyukur kerana ada yang menegur kelemahan anda seperti ibarat " baju dibelakang anda yang terkoyak", maka bolehlah anda mencuba untuk baiki diri untuk menjadi lebih baik. Dan jika anda adalah orang yang mahu menegur, tegurlah secara berhikmah, dan bukannya ingin orang lain mengikut kehendak anda sahaja dan jangan pula ingin menegur secara sinis akan kelemahan dia seolah- olah anda ingin kelihatan lebih hebat dari yang ditegur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan