Jumaat, 8 Mei 2015

Dimanakah Fakulti Roh?




BAB  6 :  Dimanakah Fakulti Roh ?


Kebanyakan manusia dizaman kini tanpa mereka sedar bahawa mereka sedang  sangat asyik dan  sibuk menjaga  fizikal luaran serta penampilan yang secara zahir sahaja. Mereka lupa bahawa fizikal dan tubuh badan mereka itu hanya berasal dari tanah sahaja sebenarnya, sehingga ada diantara mereka yang berebut dan ingin menjadi orang paling kacak atau paling cantik, mahu kulit muka menjadi paling licin dan putih, mahu dipuja dan dipuji kerana kecantikan luaran dan apa yang penting adalah mereka mahu kelihatan elok lagi sempurna untuk ditunjukkan  untuk tatapan mata manusia semata. Itulah matlamat kehidupan mereka, mereka hanya mengambil berat tentang hal luaran tanpa difikirkan bahawa hal dalaman adalah lagi penting sebenarnya untuk meraih hidup yang bahagia.  

Kerana terlalu sibuk menjaga fizikal luaran, boleh jadi mereka juga menjadi tidak perasan bahawa  wujudnya entiti bernama roh. Malah mungkin  tanpa disedari roh yang berada tempatnya dihati mereka yang tidak dijaga itu sudah semakin berjerawat malah sudah dihiasi titik-titik hitam malah mungkin juga ada yang sudah membusuk. Jika ditanya kepada diri kita, mungkin kita juga  seseorang yang tidak pernah bersungguh sungguh berusaha nak membersihkan hati yang setiap hari semakin hitam, penuh dengan dosa-dosa itu kan? Malah jika kita sedar sekalipun tentang itu, jarang sekali pula kita berusaha dan mencuba  nak membuang dosa- dosa itu dengan solat taubat dan istighfar.                                                                                                                                               

Jasad yang sebenarnya hanya berasal dari tanah itulah yang selalu diagung-agung kan dan dipuja serta dipuji manusia. Fizikal itu sangatlah dijaga betul-betul sampaikan wujudnya Fakulti  Perubatan untuk belajar cara merawat badan manusia  yang sakit juga Kursus Nutrisi bagi mengelakkan manusia kekurangan zat makanan untuk tubuh. 
Namun, pernah atau tidak anda terdengar wujudnya Fakulti Roh? Tidak pernah kan? Itu yang banyak diantara kita yang tersilap dan terlepas pandang sebenarnya kerana kita hanya asyik menjaga fizikal semata. Sehingga kita lupa bahawa yang sepatutnya kita jaga dengan lebih-lebih adalah roh kerana ia datang dari Allah ia akan kembali menemui Allah jua kelak.Ya, kualiti kehidupan kita juga sangat bergantung dengan tahap kesihatan roh kita. 

Apabila kita dikembalikan kepada Allah nanti, bukannya Dia mahu melihat rupa atau tubuh badan kita yang sangat kita jaga itu. Malah Dia langsung tidak melihat akan itu semua kerana setiap daripada kita mungkin menemui ajal dalam keadan yang berbeza iaitu samada jasad  kita ini akan menjadi rosak kerana kemalangan ataupun akan reput dikubur kemudian dimakan ulat dan hancur didalam tanah . Apa yang dia akan lihat adalah roh kita, dalam keadaan roh kita yang sedang suci atau kotorkah akan kita hantar menemui Allah kelak. 

Namun persoalannya disini adalah bagaimanakah cara jika seseorang ingin menjaga roh sebenarnya?. Andai kata tubuh kita memrlukan nutrisi untuk menjana tenaga kemudian menggerakkan anggota kita untuk bekerja, roh juga mempunyai makanannya sendiri. Sebagaimana roh itu tidak boleh kita lihat menggunakan mata kita, makanan roh juga begitu. Roh hanya ‘memakan’ nya iaitu iman dan ilmu. Kedua benda itulah yang sentiasa  perlu dicari kerana kita mahu membekalkannya untuk roh kita agar roh kita tidak sengsara kelaparan dan mati kebuluran. 

Setiap dari kita diberi tanggungjawab untuk menjaga keadaan rohnya malah dia  hendaklah belajar di Fakulti Roh melalui pengalaman menyucikan hati di sepanjang hidupnya sehinggalah rohnya bergraduasi ketika masanya tiba untuk diangkat menemui Tuhan-Nya kelak. Pada masa tersebut, tiadalah kegembiraan yang paling tinggi melainkan kegembiraan dan kenikmatan yang diperolehi jika roh kita diberi kelayakan untuk bertemu Allah dan dapat melihat wajah-Nya. Semoga impian ini dapat kita kecapi. Amin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan