Jumaat, 8 Mei 2015

: Kisah Taubat Seorang Malik


Pada suatu petang Ahad seorang tuan rumah datang ke rumah Malik untuk menagih hutang sebanyak RM 15 Ribu daripada Malik. Ini kerana sudah lama Malik tidak membayar rumah sewanya sehingga bayarannya tertunggak. Dia berkata kepada Malik bahawa pukul 10 esok pagi, Malik hanya ada dua pilihan. Samada Malik sendiri  ingin mengosongkan rumah tersebut ataupun dia akan membawa orang suruhannya untuk mengosongkan rumah tersebut. Hal itu membuatkan Malik berasa sangat tertekan. 

Kemudian dalam keadaan dia begitu, isterinya pula  datang dan berkata " Abang, saya dah  tak tahan menunggu lamanya abang untuk menandatangani surat cerai. Esok, jangan terkejut kalau abang tak pergi juga ke mahkamah, akan ada adik atau abang saya yang akan memaksa abang kesana." Kata isterinya lembut kemudian berlalu pulang ke rumah ibunya.

Sebenarnya sudah 2 tahun Malik berpisah rumah dengan isterinya, namun masih belum diceraikannya. Sebenarnya dia masih sayangkan isterinya itu. Rumah tangganya mulai bermasalah selepas isterinya mahu dia diceraikan sebaik sahaja mengetahui bahawa Malik secara tidak sengaja telah berzina dengan seseorang perempuan. Hal itu berlaku ketika dia tidak sedar kerana selalu mabuk oleh kerana tertekan sebab syarikatnya jatuh muflis beberapa tahun lepas. Isterinya bersama anaknya bernama Rafi  sejak itu tinggal dirumah keluarganya. Kini Malik tinggal bersama anaknya bernama Rifki.

Tidak cukup dengan tekanan pertama oleh pemilik rumah yang dihadapi Malik, tekanan kedua pula oleh isterinya pula datang. Sungguh berat dirasakan ujian Allah padanya. Namun, penderitaannya tidak berhenti setakat itu. Selepas Asar, anak yang bernama Rifki balik dari sekolah dalam keadaan berjalan lemah. Kemudian Rifki berkata, " Ayah, cikgu kata esok Rifki tak perlu kesekolah dah, sebab sudah 2 bulan ayah tak bayar yuran sekolah.  "
Terkedu  Malik sambil melihat anaknya berlalu kearah biliknya.

Sampai malam, Malik secara berterusan merasa kusut dan tertekan. Selepas berfikir panjang, dia pun mengambil keputusan sangat besar dalam hidupnya iaitu dia mahu membunuh diri. Disaat ingin membunuh diri, dia terfikir yang dia ingin menunaikan solatnya yang terakhir. Dirasakan bahawa sudah terlalu lama dia tidak bersolat. Selepas mengambil wuduk, dia menunaikan solat Isyak dengan penuh khusyuk. Selepas itu, terdetik dihatinya ingin membaca Al quran yang mengandungi terjemahan di rak dalam biliknya. Dibelek Al quran tersebut. Satu helai demi satu. Kemudian matanya terfokus dan terbaca satu ayat yang bermaksud :

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Ali- Imran 3 :26)
 
Dirasakan bahawa seolah-olah Allah sedang berbicara dengannya. Dia tersentak membaca ayat tersebut. Difikirannya dia mengaitkan ayat tersebut dengan masalahnya. Dia seolah-olah mendengar kata-kata ini :

 “ Malik, siapa kata pagi esok rumah kau akan diambil ?. Siapa kata yang esok kau akan bercerai? . Siapa kata yang nanti anak kau dah tak boleh bersekolah?. Jika Allah tidak mengizinkan semua itu untuk berlaku, tidak akan pernah ianya terjadi. Sesungguhnya Allah yang Maha Berkuasa diatas segala sesuatu.” 

Namun, dia tak percaya akan bisikan hatinya itu. Dia meneruskan membaca lagi ayat seterusnya.

"Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya". 
( Ali Imran 3: 27)

Selesai dia membaca ayat ini, dia terdengar lagi bisikan hatinya seperti tadi:

“ Malik, kalau Allah boleh menukarkan malam menjadi siang, yang siang menjadi malam, juga boleh menghidupkan benda yang mati, dan mematikan benda yang hidup, pasti senang sahaja Dia ingin menyelesaikan masalah yang kamu rasa banyak itu. Allah pemberi rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki tanpa hitungan hisab.”

Namun dia masih tidak percaya, bahawa ada jawapan untuknya disebalik masalahnya yang terlalu banyak itu. Sehinggalah dia terjumpa satu lagi ayat  dari Surah Faatir.

Apa jua jenis rahmat yang dibukakan oleh Allah kepada manusia, maka tidak ada sesuatupun yang dapat menahannya; dan apa jua yang ditahan oleh Allah maka tidak ada sesuatupun yang dapat melepaskannya sesudah itu. Dan (ingatlah) Dia lah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. 

Wahai umat manusia, kenangkanlah nikmat Allah yang telah dikurniakanNya kepada kamu; tidak ada sama sekali yang menciptakan sesuatu selain daripada Allah; Ia memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi. Tiada Tuhan melainkan Dia, maka mengapa kamu rela dipalingkan (dari menyembahnya)?

(Faatir 35:2-3) 

Kemudian dia mendapat perasaan bahawa Allah sememangnya sedang berbicara dengannya melalui ayat - ayat tersebut sehinggalah akhirnya dia yakin bahawa Allah pasti ada jalan penyelesaian akan segala masalahnya. Dia yakin akan hal itu sehingga dia membuat satu lagi keputusan drastik iaitu tidak jadi ingin bunuh diri.

Kemudian dia meneruskan dengan membaca zikir asmaul husna...Ya Aziz ( Maha Perkasa), Ya Hakim ( Maha Bijaksana), Ya Ghafuru ( Maha Pengampun),Ya Rahim ( Maha Pengasih), sambil sambil dia berzikir, dia berdoa semoga Allah mengangkat semua masalahnya, semoga Allah bagi dia dan isterinya berbaik semula, semoga Allah membolehkan anaknya bersekolah lagi, semoga rumahnya tidak diambil.
Kemudian dia menyambung membaca Al quran, dia terjumpa lagi satu ayat tentang berpasrah diri:



“……..dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya 

Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. (At-Talaaq 65:2-3)
 

Selepas terjumpa ayat ini, cara berdoanya  mulai berubah. Berubah kearah berpasrah diri, bukan hanya membuat permintaan agar diselesaikan masalahnya seperti yang awal tadi. Oleh kerana dia merasakan bahawa mendadak sangat permintaannya yang pertama tadi, sekarang dia berdoa gaya seorang yang pasrah, dia hanya ingin Allah ampunkan dosanya semata-mata. Dia mahu Allah membersihkan dirinya dari dosa yang dia pernah lakukan. Sungguh banyak dirasakan dosanya. Kemudian dia bangun dari sejadah dan meletakkan kunci rumah berhampiran pintu rumah. Dia letakkan disitu supaya senang untuk diberi kepada tuan rumah keesokan harinya.

Selepas itu dia meletakkan cincin kahwinnya berhampiran sejadah. Lama dia memandang cincin tersebut. Dia sudah mulai redha ingin melepaskan isterinya esok dan dia ingin memberi cincin itu kepada isterinya. Kemudian dia pergi pula ke bilik anaknya Rifki, kemudian dia mencium anaknya, dia berbisik dalam hatinya, " Rifki, maafkan ayah tak dapat membayar yuran sekolah kamu. Esok, kamu ikut ayah ke mahkamah dan kamu ikut ibu kamu baliklah. Ayah doakan semoga kamu dapat ayah yang lagi baik dari ayah". Dia sungguh pasrah dan redha. Jika semua itu boleh jadi penebus dosanya yang lalu, dia sanggup.

Dia kemudian terfikir " Eh, tuan rumah nak ambil rumah ini sahaja, isi rumah ini masih milik aku. Baiklah, esok aku akan sedekahkan semua itu kepada semua jiranku." Dia mulai berniat untu bersedekah. Biarlah dia keluar esok dengan sehelai sepinggan sekalipun, dia ingin memulakan hidup yang baru. Ketenangan jiwa sangat dirasai Malik disaat itu.

Ketika subuh menjelma di pagi esoknya. Malik ke masjid untuk solat subuh berjemaah. Sudah lama dia tidak ke masjid. Dia merasa jiwanya sungguh tenang. Dia tidak terus pulang ke rumah selepas solat, kerana dia ingin terus dalam keadaan tenang yang sudah lama tidak dirasainya itu. Kemudian dibacanya surah pilihan  seperti surah Waqiah, Yaasin dan Al Mulk. Ketika berjalan mendekat dengan rumahnya, dia melihat ada kelibat seseorang di tangga rumahnya. Hatinya berdetik, " Tak kan tuan rumah dah datang, bukan ke janjinya pukul 10 pagi?" Namun oleh kerana hatinya penuh dengan perasaan tenang, dia terus maju. Baginya tiada beza pukul 7 ataupun pukul 10 pagi. Kalau dah kena keluar rumah, tak kisah lah pukul berapa pun. Tiada bezanya.
Rupa-rupanya itu bukan tuan rumah yang ingin mengosongkan rumahnya, tetapi orang itu adalah kenalan lamanya. Kemudian dia kedapur untuk membuat air minuman. Dia membuat air sambil berperasaan sedih kerana tiada isteri yang boleh disuruh untuk membuat air. Sudah lama dia tidak merasai masakan atau minuman dari air tangan isterinya. 

Kembali berjumpa kawannya, kawannya berkata, " Malik, kau kena tolong aku. Aku ada hal penting nak bagitahu kau. Begini, aku ada projek besar yang melibatkan besi. Aku tahu kau seorang yang pakar menilai besi dan pandai meletakkan harga besi dengan bagus. Aku nak ajak kau bekerja dengan aku. Nak tak?". Malik berfikir sejenak kemudian berkata bahawa sebenarnya dia malas dan belum berkeinginan untuk melakukan projek besar tersebut, oleh kerana dia sedang lagi sedih memikirkan keadaan keluarganya yang berantakan dan merasakan tiada gunanya dia bekerja jika tiada keluarganya.

Namun temannya terus bertegas menginginkan dia menerima juga tawarannya itu. Dia akan rugi banyak jika tiada orang pakar seperti Malik dalam syarikatnya. Oleh kerana Malik melihat kawannya itu sangat bersungguh, dia kemudiannya membuat muka serius," Baiklah, kalau betul kau nak aku ikut kau, sediakan duit tunai pagi ini sebanyak Rm 50 ribu."  Dia mengira pasti kawannya tidak akan bersetuju setelah disebut sejumlah wang yang sangat besar itu. Mana pernah orang bekerja diberi duit dulu baru bekerja. Dia mengira kawannya itu pasti terkejut dengan permintaanya yang tiba-tiba itu.

Namun hal yang sebaliknya pula berlaku. Malik pula yang sangat terkejut dengan jawapan yang keluar dari mulut sahabatnya sejurus selepas itu, " Malik, kalau Rm50 ribu memang tidak dapat lah, tapi kalau RM 25 ribu, aku boleh bagi kepada kau secara tunai pagi ini, Insya Allah. Tersedak Malik yang sedang minum. Malik berkata, " Eh,sekejap, cuba sekali lagi ulang apa yang kau cakap tu." Malik masih tidak mempercayai apa yang didengarinya.


" Malik, kalau Rm25 Ribu aku masih boleh bagi, nanti kita pergi bank sama-sama"

Subhanallah, masalah yang Malik hadapi selesai dalam masa kurang dari sehari. Allah memudahkan urusan dan menolongnya dari arah yang dia tidak sangka  hasil daripada dia bersungguh sungguh melakukan taqarub kepada Allah serta menyesal akan dosa yang pernah dilakukan. Tanpa dia sedar, dia telah melakukan kesemua yang Rasulullah anjurkan ketika seseorang ingin melepaskan diri dari masalah. Amalan yang telah Malik lakukan adalah berwuduk, solat, membaca Al Quran, berzikir kemudian dia berniat untuk bersedekah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan