Jumaat, 8 Mei 2015

Saksi Palsu?


Pernahkah anda pergi makan dikedai atau restoran yang kesedapannya tersangatlah mantap dan kemudian dengan senang hatinya anda mempromosikan kepada  orang ramai bahawa sedapnya  makanan  dijual di situ dan memberitahu bahawa masakan mak cik itu boleh membuat anda teringat-ingat dan rasa nak pergi lagi untuk kesekian kalinya. Pasti pernah bukan?. Mungkin sudah berkali-kali sehingga tak terkira kita berkelakuan sebegitu. 

Kita tidak sedar bahawa kita selalu secara percuma  mempromosikan banyak kedai yang kita suka walaupun kita tahu yang kita tidak akan mendapat komisyen sesen pun jika ramai orang membeli di kedai itu melalui promosi kita tersebut kan?.

Pernah tak juga anda membeli satu produk  dan ianya sangat berkesan dan  selepas berpuas hati menggunakannya  anda akan rasa bertanggungjawab untuk menyebarkan maklumat tersebut dan mungkin anda akan berkata: “ Milah, rugi tau kalau kau tak cuba produk ni. Aku dah dua tahun pakai ni dan sangat suka pakai produk ni. Ruginya kamu baru kenal benda ni, cubalah try ”.



Siapa yang boleh agak apa yang saya ingin ceritakan ditajuk ini?. Mesti ramai yang masih kabur akan initipati bab ini kan?. Sebenarnya tanpa kita sedari  begitulah juga halnya dengan kita, kita mengetahui betapa menarik dan sempurnanya  Islam, betapa seronoknya menjadi hamba Allah, bukan bertuhankan “ Tuhan” yang lain, dan kita tahu hanya ada satu tiket untuk seseorang masuk  syurga iaitu dengan status beragama Islam, tapi kita tak pernah pun rasa terpanggil nak mengajak orang yang belum kenal Islam untuk merasai Islam yang kita anuti ini.

Tidak pernah juga kita menceritakan kepada mereka yang masih memikirkan agama Islam adalah agama pengganas, supaya mereka mengenali Islam secara lebih dekat melalui sumber yang betul malah mengajak mereka untuk  menjadikan ianya sebagai cara hidup .Kita tidak pula secara senang dan berlapang dada  untuk bercerita tentang islam seperti mana kita mempromosikan produk kegemaran atau kedai makan kesukaan kita kepada orang lain. Kenapakah perkara ini boleh berlaku sebenarnya?. Kenapa kita memilih untuk menceritakan dan berkongsi serta mempromosi bersungguh-sungguh akan perkara yang kurang penting seperti produk, berbanding perkara yang lagi penting iaitu tentang Islam?. Anda rasa kenapa ini berlaku?.

Dengan melakukan itu kita seolah-olah ingin memasuki syurga seorang diri atau dengan keluarga  kita sahaja.  Betapa sebenarnya kita mungkin adalah si kedekut kerana  kita kerana tidak ingin berkongsi benda yang sangat penting ini kepada ramai lagi yang belum mengenali Islam diluar sana. Kita seharusnya bermuhasabah dan bertanya kepada diri “ Adakah aku layak mahu memasuki Syurga Allah jika begitulah perangai aku?”  Iaitu sikap kita yang hanya menyimpan Islam dalam poket masing-masing semata, yang mengamalkan Islam sendirian. Tidakkah kita takut jika kita menjadi orang yang sebegitu?.                       

Ada satu analogi untuk menggambarkan situasi ini. Analoginya begini, mari kita bayangkan bahawa kita termasuk dalam kumpulan yang diberi peluang untuk  pergi melawat disebuah negara dhaif dan tersangat miskin. Sesampainya kita disana, kita terkejut kerana dinegara itu kebanyakan rakyat dan penduduknya hanya memakan rumput. Ya. Mereka memakan rumput dan daun-daun walaupun  apa yang kita nampak adalah terdapat sungguh banyak  roti untuk dimakan ditempat mereka. 

Dan yang lebih menyedihkan adalah  mereka tidak pernah pun mengetahui bahawa roti dan nasi itu sejenis makanan rupanya. Mereka menggunakan roti sebagai tisu atau untuk kegunaan lain tetapi bukan untuk dimakan dek kerana kejahilan mereka. Mereka tidak tahu. Tiada sesiapa pernah memberitahu mereka. Mereka tiada ilmu. Mereka pandai membuat roti, tetapi bukan untuk dimakan. Alangkah sayangnya.

Kita dan kawan-kawan kita yang mengetahui  kebenaran itu adakah ingin terus mendiamkan diri sahaja dengan melihat mereka memakan rumput tersebut, kemudian kita pun ambil padi dan roti tersebut seterusnya kita makan dengan keluarga kita sahaja, tanpa kita ceritakan apa-apa kepada,. mereka?. Adakah mungkin kita menjadi seorang yang pentingkan diri pada ketika itu?. Iaitu inginkan kenikmatan sendirian?. Tidakkah kita takut akan kemungkinan bahawa jikalau setelah mereka tahu akan 'kebenaran'  tentang roti dan padi tersebut bukan melalui kita, mereka akan berkata;

“ Oh, orang itu tahu akan kebenaran pasal roti itu rupanya, tapi dia tidak bercerita pun apa-apa kepada kita, alangkah jahatnya dia!”


“ A’ah, kejamnya orang itu, mahukan roti tu seorang diri,  busuk sungguh hati dia. Kita ni hari-hari makan rumput yang pahit tu je, tak tahu roti itu boleh dimakan juga rupanya"

Melalui kisah diatas, saya agak anda boleh meneka apa maksud yang ingin saya bawakan bukan?. Ya, perkara yang sangat kita takuti adalah kalau kalau nanti ada yang berkata dan mengadu kepada Allah di neraka kelak akan kata-kata ini, oleh kerana malasnya kita menyebarkan kebenaran Islam:

"Ya Allah, dia mengetahui kebaikan dan kehebatan Islam, tapi dia tidak beritahu kepada kami, Walaupun melalui satu ayat dia tidak pernah nak berkongsi dalam Facebook, Twitter atau Blog dia pun, walaupun aku follower dia yang tegar, dia tak pernah nak  cerita pun apa- apa pasal Islam. Tak pernah dia bercerita tentang Islam dengan bahasa yang mudah non- muslim faham. Masukkan dia dalam neraka juga seperti kami juga,Ya Allah".  Nauzubillah, kita mohon dan berlindung dari Allah agar dijauhkan dari keadaan ini.


Ataupun, mungkin jiran kita pula berkata:

“ Wahai Tuhan. Aku tak tahu bahawa Islam itu agama yang benar. Sebab aku melihat orang Islam ramai yang teruk akhlaknya. Aku pun tak nampak kebaikan Islam dengan melihat jiran atau kawan-kawan aku. Mereka pun tidak pernah menceritakan dengan bersungguhnya tentang agama ini menggunakan ayat yang mudah kami faham. Janganlah Kau hukum kami sahaja ya Allah, mereka juga bersalah.”




Takut bukan jika hal tersebut terjadi?. Mungkin sahaja ia terjadi. Kerana berapa ramaikah diantara kita yang sebetulnya menyeru orang kearah kebaikan juga melarang kearah kemaksiatan? Tidak ramai barangkali. Sangat sedikit yang betul-betul bersungguh. Diantara yang sedikit itu, berapa ramai sahaja yang berdakwah kepada yang belum mengenal Islam pula?. Lagi sedikit jumlahnya.

Namun saya yakin, semua orang bukannya tidak mahu menceritakan dan berdakwah kepada yang lain, namun sebenarnya  kita tidak tahu cara bagaimanakah yang sesuai. Mungkin  kita sendiri juga kekurangan ilmu akan agama ini sehingga terasa agak sukar untuk melimpahi kepada hati orang lain. Maka solusinya apa?. Sudah pasti dengan memenuhi “ gelas” hati kita dengan ilmu, sehingga suatu masa ia boleh di” limpahi’ dan di” percikkan” kepada orang lain dengan senangnya. 


Berdasarkan kisah diatas, ada satu ayat Al Quran yang boleh kita hayati:
Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik. (Ali'Imraan 3:110) 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan