Jumaat, 8 Mei 2015

Belum Sampai Seru




Pernah tak kita mendengar ada yang berkata. “ Aku belum sampai seru dari Allah lagi ni, tunggu hidayah sampai lah, baru aku berubah”.  Bukan sedikit yang menuturkan ayat tersebut di zaman sekarang. Malah mereka menjadikan ayat “Belum sampai hidayah” sebagai alasan untuk terus dalam kemaksiatan dan dosa mereka. Mungkin hati kita juga pernah berkata hal yang demikian disaat rasa susah dan berat untuk berubah kearah yang lebih baik.
 

Ramai antara kita sebenarnya sudah tersilap anggap makna hidayah yang sebenar. Atau mungkin mereka juga ingin hal hidup mereka secara drastik berubah melalui pemberian hidayah juga melalui perubahan seperti yang dialami Umar Al Khattab yang sungguh jauh bezanya dizaman  keislamannya berbanding ketika masih jahilliah. Kita juga banyak kali terlepas pandang dan tidak sedar akan tanda dan teguran yang diberi Allah melalui apa yang berlaku disekeliling kita. Ia sebenarnya juga salah satu cara pemberian hidayah Allah kepada kita.


Disaat Allah turunkan hidayah kepada kita mungkin melalui Ilham yang diberi-Nya kepada penulis Facebook, juga melalui mana-mana blog, ataupun penulis buku dan  kemudian dimudahkan jalan untuk kita terbaca perkara tersebut. Kemudian  cuba kita tanya diri dan jawab sejujur mungkin, adakah dengan kita like atau share semata apa yang kita rasa berkenan itu sudah cukup memadai dan mencukupi sebenarnya sebagai balasan hidayah itu tanpa diamalkan langsung ?. Adakah Allah  menggerakkan tangan untuk secara tidak sengaja untuk like page yang bagus-bagus itu adalah untuk kita melihat dan membaca sahaja tanpa diamalkan?. 


Sudah tentu jawapannya adalah tidak.  Sebenarnya itu adalah salah satu wasilah hidayah yang Allah bagi kepada kita tetapi jarang antara kita yang sedar kerana kita tersalah  memahami apa hidayah itu sendiri dan mengharap ia datang melalui sesuatu yang pelik dan tiba-tiba sahaja.
Hidayah itu sebenarnya  seperti air hujan, kalau kita tak menadahnya, tambahan pula jika kalau kita lari darinya , maka apa yang kita akan dapat hanyalah tempias airnya sahaja lah kan , basah yang sedikit sahaja yang kita akan dapat kan? Maka jika kita mahu mendapat air yang banyak, silalah mengambil  baldi yang bersesuaian untuk menampung air hujan tersebut. 


Begitu juga keadaannya dengan seruan atau hidayah Allah,  Dia sudah menghadiahkan dan memberi berkali-kali  hidayah kepada  kita, dia  mungkin bagi kita terbaca akan tulisan dan peringatan, kemudian kita mendapat banyak ilmu tentang islam disitu akan perkara yang kita tak pernah tahu sebelumnya. Namun sejauh manakah sebenarnya kita “ menadah” hidayah tersebut? Adakah kita hanya melihat peringatan-peringatan tersebut seperti melihat air hujan yang jatuh tanpa menyediakan “ baldi”  yang bersesuaian?.


Mungkin di sekeliling kita juga Allah sudah banyak meletakkan  orang yang baik- baik dan soleh agar kita terikut dan meniru kesolehan orang tersebut malah orang itu berkemungkinan adalah sepupu, anak saudara atau jiran  anda yang baik, yang mengaplikasikanm Islam secara menyeluruh. Kemungkinan sahaja ada  diantara mereka sebenarnya  sudah lama berniat nak ajak kita kearah Islam  dan banyak kali mengajak kita agar mendekatinya tetapi kita tak sedar bahawa merekalah hidayah dari Allah untuk kita, tapi sering kali kita terlepas pandang dek kerana kerabunan mata hati sendiri.


Juga banyak antara manusia seperti kita tanpa sedar kita sendiri seorang yang sombong. Contohnya jika kita sudah mengetahui  kebenaran iaitu mendapat hidayah bahawa solat itu wajib dilaksanankan tetapi  apa yang lebih diikuti adalah nafsu diri sendiri yang  malas, maka kita tidak bersolat. Keimanan diri yang sangat tipis itu tidak diperbaharui dan ditambah sehingga tidak lagi mampu menyegarkan anggota dan menggerakkan badan untuk bersolat walaupun  melaksanakan hanya yang wajib. Golongan yang tidak mendengar arahan Allah dikatakan sombong mengikut firman Allah:
Yang mendengar ayat-ayat penerangan Allah sentiasa dibacakan kepadanya, kemudian dia terus berlagak sombong (enggan menerimanya), seolah-olah ia tidak mendengarnya; oleh itu gembirakanlah dia dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Al-Jaathiyah 45:8) 


Jika kita adalah orang yang tahu kewajipan solat tetapi secara sengaja masih mahu meninggalkan solat, jika ditanya kelak dihadapan Allah kenapa kita tidak solat, adakah kita mahu menjawab dengan jawapan ini, "Saya tidak tahu pun solat itu wajib dibuat!". Tidak mungkin kita boleh beralasan sebegitu kerana sesunguhnya kita pernah tahu, terbaca melalui Facebook, melihat di televisyen juga tertengok video tentang solat malah pernah disuruh oleh mak dan ayah secara berkali-kali dan sangat mengetahui akan hukum solat sebenarnya iaitu wajib. 

Alasan itu sangatlah tidak boleh diterima pakai kerana kita bukanlah tinggal di hutan yang dikelilingi kawan seperti gajah atau zirafah untuk mengelak diri dan beralasan tidak tahu akan kewajipan solat tersebut.

Sebenarnya orang yang tak bersolat juga adalah seorang yang ego kerana dia merasa dengan belajar dia boleh pandai, manakala dengan dia berkerja, dia sudah mampu menanggung diri dan keluarganya. Malah dia seolah-olah tidak merasa perlunya meminta tolong dan merayu kepada Allah untuk menjaga dia dari apa juga kemalangan mahupun kesusahan . Dia merasa cukup dengan dirinya sendiri tanpa melakukan apa yang sepatutnya seorang hamba lakukan.



Jika anda  adalah seorang yang sebegitu iaitu orang yang sudah lama meninggalkan perbuatan menghambakan diri kepada Allah melalui solat,  jangan pula anda bersedih dan  berputus asa kerana Allah sedang menunggu anda untuk bertaubat sebenarnya. Sesungguhnya jika kita merasakan bahawa dosa kita sudah teramat banyak, kemaafan dan pintu keampunanNya lagi banyak dan tersangatlah luas iaitu seluas langit dan bumi. Oleh sebab itu mungkin Dia memudahkan jalan anda untuk terbaca buku ini. Ya, Dia sangat  sayangkan anda. Dia sedang memberi hidayah kepada anda kerana Dia tidak mahu mengazab hamba-hamba yang ingin berubah. 


Jika anda ingin berubah iaitu mahu bermula untuk bersolat, apa yang anda kena buat adalah,
Berdoa dengan bersungguh-sungguh dari hati yang paling dalam, “Ya Allah, aku mahu berubah kearah yang lebih baik. Aku sudah tidak mahu jadi aku yang dulu yang berperangai buruk. Tolong aku, Allah. ”
Cari artikel, buku ringkas tentang solat, video cara bersolat ataupun apa-apa input tentang azab meninggalkan solat agar kita lebih takut untuk mengabaikannya. InsyaAllah ,  Allah akan memudahkan jalan anda jika anda “ berjalan” ke arahnya, Dia akan “berlari” menghampiri anda seperti  mafhum dalam satu hadis qudsi. 


Sabda Rasulullah SAW bahawa Allah SWT telah berfirman:


“Aku adalah seperti sangkaan hambaKu terhadap Aku. Dan Aku bersamanya tatkala Dia mengingatiKu. Sekiranya dia mengingatiKu dalam dirinya, maka Aku akan mengingatinya dalam diriKu. 

Sekiranya dia mengingatiKu di khalayak ramai, maka Aku akan mengingatinya di depan khalayak ramai yang lebih mulia(para malaikat dan nabi-nabi). Jika hambaKu mendekatiKu sejengkal, Aku akan mendekatinya sehasta. Jika hambaKu mendekatiKu sehasta, Aku akan mendekatinya sedepa.

Jika hambaKu mendekatiKu dalam keadaan berjalan, Aku akan mendekatiNya dalam keadaan berlari(cepat).” (Hadith Qudsi Riwayat Bukhari dan Muslim)

Cari ustaz atau ustazah untuk anda belajar solat sempurna dengannya. Jika anda malu, cari kawan yang  anda selesa untuk belajar dan pastikan dia adalah seorang yang tidak pernah meninggalkan solat.
Jika anda yang baru ingin bersolat dan anda kemudian solat dengan penuh keinsafan, anda mungkin boleh menjadi seorang yang lebih hebat dan berkualiti solatnya berbanding sesorang  yang tidak  pernah meninggalkan solat semenjak kecil. Semoga Allah memberkati anda wahai orang yang ingin mendekati Tuhan sekalian.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan