Adakah anda perasan atau tidak bahawa kebanyakan orang dizaman sekarang sebenarnya sudah kehilangan rasa?. Mungkin ‘ orang’ tersebut adalah diri kita sendiri. Ya, mungkin saja. Perkataan kehilangan rasa yang saya maksudkan disini adalah bukan kehilangan rasa di lidah iaitu orang ramai sudah tidak tahu membezakan diantara mana yang tawar, manis atau masin , tapi sebenarnya maksud rasa yang saya ingin sebut disini adalah deria rasa yang Allah kurniakan kepada setiap daripada kita yang terletaknya dihati.
Ramai orang sebenarnya tidak sedar bahawa wujudnya deria ini. Tidak ramai yang sedar bahawa hati mereka juga pandai mengenal rasa. Mereka masih lemah dalam mengenali keadaan hati sendiri, samada ia sedang berfungsi atau sebaliknya. Mereka malah tidak perasan akan perubahan di “ deria rasa” yang berlaku dihati mereka sebagaimana profesionalnya mereka mengenal jika ada perubahan “ deria rasa” dilidah mereka.
Ya, ironi sekali mereka ini. Mereka akan cepat perasan jika makanan yang selalu dimakan tiba-tiba menjadi tawar bila mana mereka mendapat selsema, tetapi mereka kurang merasa perubahan dihati apabila hati menjadi kurang sensitif kerana banyaknya dosa. Mari kita bermuhasabah sebentar dan bertanya kepada diri bahawa mungkinkah kita juga termasuk dikalangan salah seorang daripada mereka itu? Salah seorang yang sudah tiada rasa dalam mengenal dosa dan pahala?
Bagi seseorang yang baik dan bertaqwa contohnya, jika dia tersalah terlewat solat, hatinya akan memanifestasi kan perasaan yang tidak enak malah akan kemudian membuat dia akan rasa menyesal dan rasa bersalah. Walau dia selalu sahaja solat lewat berkali- kali lagi selepas sedar akan kekhilafannya itu, namun dia masih lagi sedar bahawa dia melakukan hal yang salah dan akhirnya dia akan mencuba untuk menjadikan solatnya dibuat pada awal waktu. Oleh kerana dia masih ada “ rasa” tidak senang duduk kerana dosanya itu, dia sebenarnya masih belum kehilangan “ deria rasa” dihatinya.
Sebaliknya saya menyedari ramai diantara kita sudah tak rasa apa-apa perasaan walaupun sudah lama tidak bersolat, malah tidak langsung merasa berdebar debar dan bergetar hati kerana begitu takutkan azab neraka Saqar yang dijanjikan untuk golongan yang sengaja meninggalkan solat. Begitu juga halnya bagi yang tidak memakai tudung atau tidak menutup aurat sempurna didepan bukan mahram, mereka tidak merasa merah muka sebab rasa malu sebagaimana malunya mereka tentang perkara keduniaan yang lain. Ya, mereka sudah tiada perasaan malu apatah lagi bersalah. Saya selalu tertanya -tanya, adakah semua keadaan ini berlaku oleh kerana mereka mungkin berfikir dengan fikiran sebegini?,
" Sejak semalam dan minggu lepas, malah sejak bulan lepas aku tidak bersolat, tiada pun terjadi apa-apa musibah yang pelik kepada aku . Aku sihat sejahtera sahaja sehingga hari ini, malah boleh lagi makan macam korang makan dan aku masih hidup lagi setakat ini. Kamu orang yang bersolat, siang malam tunggang terbalik aku nampak, tapi kita masih mempunyai masalah yang sama , sebenarnya dimana khasiatnya solat? Mana mudharatnya tak solat?"
Adakah timbul difikiran mereka akan kata-kata tersebut sehingga mereka langsung tidak mahu walaupun mencuba untuk bersolat? Tidakkah mereka mahu merasa perasaan tenang seperti yang dirasai orang yang bersolat? Ego apakah yang mengahalang mereka dari berjinak-jinak untuk bersolat?.Kasihannya mereka kerana sesungguhnya mereka kehilangan rasa bersalah dan hati mereka sudah tidak sensitif dengan dosa sehingga mereka seolah-olah boleh diistilahkan ‘alah dosa tegal biasa’ .
Semoga kita dijauhkan dari dikeraskan hati sehingga kekurangan rasa bersalah apabila melakukan dosa, juga semoga kita tidak tergolong diantara mereka yang merasa nikmat melakukan kemungkaran kepada Allah.
Namun selepas membaca mengenai hal ini dan baru kita menyedari bahawa kita sudah termasuk dalam golongan yang sudah dibuang rasa bersalah itu, marilah kita menanam rasa takut dan berdebar kembali kerana dikhuatiri Allah sudah mengeraskan hati itu, takut-takut kita pun sudah tidak dikenaliNya , malah apa yang kita paling bimbang adalah jika Dia sudah matikan hati itu. Jika suatu ketika dimana kita merasakan bahawa kita sudah tidak mempunyai hati maka cepat-cepatlah meminta hati yang baru.
Semoga dengan membaca buku ini, ia menunjukkan anda masih ada peluang mendekatiNya. Hati anda sebenarnya masih belum mati. Pujuklah hati anda kembali dengan kata-kata ini, “Wahai hati yang bertuah, bergembiralah, kerana Allah tidak mematikan kamu disaat banyak kali kamu menjadi keras dan ketika kamu lalai dari mengingati Allah selama ini”. Semoga Allah medengar rintihan dan menerima penyesalan kita ini.
"Ya Allah, jadikanlah hati-hati ini, hati yang tenang, yang sensitif akan dosa, yang merindui syurga FirdausMu, yang merindui menangis keranaMu. Kami banyak buat dosa, tapi kami tahu, pengampunanmu seluas langit dan Bumi..."
Sebagaimana hati Umar Al- Khattab yang mempunyai perwatakan yang tersangat keras sehingga sanggup membunuh anaknya sendiri pun Allah masih boleh lembutkan, kenapa kita tak rasa hati kita ini pun boleh dilembutkan juga?. Semoga kita dijauhkan dari menjadi golongan yang Allah ceritakan di ayat ini;
Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar (ajaran dan nasihat) mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi mereka itulah orang-orang yang lalai.(Al a’raf 7 : 179)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan