Jumaat, 8 Mei 2015

Membuat Permintaan



Seorang Sheikh cuba menceritakan kepada pendengar ceramahnya tentang doa dengan sesuatu yang mudah agar difahami mereka dan boleh diaplikasikan kedalam kehidupan seharian mereka. Beliau memberi satu analogi yang saya kira sangat mudah dan senang untuk dipraktikkan dan dibayangkan kerana dia menggunakan analogi doa melalui pengalaman bagaimana cara dan ragam anaknya membuat permintaan kepadanya. Beliau bercerita:

“Saya ada lima orang anak. Anak sulung saya bernama Yusuf, dia seorang yang agak sensitif dan lembut. Jadi suatu hari Yusuf berkata. “ Baba, Baba!!!”, saya berkata, “Ya”. Yusuf menyambung “ Baba, boleh tak saya nak beli itu, please?”.  Saya bertanya, “ Nak beli apa?” Yusuf menjawab, “ Playstation, best game tu” saya berkata, “ Tak boleh, Yusuf, Baba tak cukup duit.”  Kemudian dia membuat muka sedih kemudian pergi dan menitiskan beberapa titis air mata. Itu sahaja yang Yusuf buat. Itu caranya setiap kali Yusuf nak minta apa-apa dari saya.

Kemudian anak sulung perempuan saya yang bernama Aisyah. Apa yang dia buat jika nakkan sesuatu ? Dia panggil saya dengan lembut, “ Baba”, saya jawab, “Ya”, Aisyah berkata “Baba sungguh baik” Kemudian dia datang mendekati saya dan sikatkan rambut saya, sentuh dan bermain-main dengan kepala saya. Dia sungguh baik, Subhanallah. Kemudian dia bertanya,” Baba, nak apa-apa ke? Air ? Jus?” Dan dia akan tolong bukakan kasut saya. Kemudian saya bertanya, “ Aisyah, sebenarnya Aisyah nak apa?” dia menjawab “ Baba, boleh tak saya nak hadiah yang dijual kat kedai sekian –sekian?” saya kemudian jawab, “ Tak boleh Aisyah. Bukan sekarang, Baba tiada duit sekarang. Aisyah tersenyum kemudian berkata,” Okey Baba, tidak mengapa”. Kemudian dia pergi dengan baik.

Kemudian Zainab. Kalau dia nak meminta apa-apa dia akan cakap “Baba, Baba, Baba” saya kata “ Ya, Zainab”,  Dia menjawab “ Aaam…aam, kat situ ada jual mainan yang cantik, boleh tak Zainab nak mainan tu?.Tolonglah, please Baba “. Zainab budak yang sangat kelakar. Saya berkata  “ Tak boleh Zainab” Zainab membalas “ Okey” kemudian dia terus berlalu.

Kemudian anak saya bernama Ibrahim. Ibrahim tak banyak cakap, dia kebanyakan waktu hanya senyum, dia berkata “ Baba”, saya menjawab “ Ya” kemudian dia senyum lagi dan saya tahu apa yang dia nakkan sebenarnya, kemudian saya kata “ Ibrahim, tak boleh”. Kemudian dia membalas “ Okey baba”. Kemudian dia tersenyum lagi dan berlalu pergi.

Maryam anak saya yang paling bongsu. 3 tahun umurnya. Apa yang dia buat kalau nak sesuatu dari saya? Dia akan “ Eeeeeeuuhuhuh, uwwaaa”, Ya, dia akan menangis dan merengek. Saya pun tanya, “ Nak apa?”, kemudian dia menangis lagi. Saya dapat mengagak apa yang dia mahukan. Saya kata “ Tak boleh Maryam”. Kemudian dia menangis lagi kuat. 

Melalui kisah saya tentang anak-anak saya ini, siapa yang anda rasa yang pada akhirnya selalu berjaya mendapat apa yang diingininya? Siapa peminta yang paling bagus diantara mereka?. Maryam ?.Ya, Maryam yang selalu mendapat apa sahaja yang dia minta di kebanyakan waktu. Sebab kalau dia tak dapat, dia akan “membunuh” saya dengan tangisannya. Dia tidak akan berhenti.

Begitulah juga dalam membuat permintaan ( doa) kepada Allah, berapa kali sahaja kita betul- betul meminta dan berdoa bersungguh –sungguh kepada Allah seperti anak Sheikh tersebut yang bernama Maryam. Maryam bersungguh-sungguh meminta Babanya untuk memberi apa yang diingininya. Kita sepatutnya menangis seperti menangisnya Maryam disaat kita berdoa dan meminta kepada Allah. Itulah manifestasi betapa kita bersungguhnya inginkan Allah kabulkan permintaan kita.

Namun, selalu sahaja kita mengamalkan seperti yang keempat-empat orang anak Sheikh yang lain dalam berdoa. Kita berdoa sambil lipat sejadah selepas solat. Kita berdoa seolah baca skrip tanpa faham apa yang diminta. Kita kurang bersungguh-sungguh.  Kita meminta tolong dengan selain Allah dahulu, kemudian jika semua  itu tidak membuahkan hasil, akhir sekali barulah kita meminta pertolongan dari Allah bukan ?. Itulah yang selalu kita buat. Mungkin ada yang berkata, kalau kita berdoa seperti apa yang Maryam buat, bukankah nampak kita pula yang memaksa Allah untuk memberi apa yang kita ingini?. Bukankah kita ini hanya hamba, bukannya tuhan?.

Betul, kita tidak boleh “ memaksa” Allah untuk memberikan apa yang kita mahu kerana Dia akan memberi apa yang terbaik untuk kita dan memberi apa yang kita perlu, bukannya apa yang kita mahu kerana Dia Maha Mengetahui apa yang  sebelum juga apa yang akan berlaku, apa yang dihati dan apa yang dizahirkan oleh kita. Namun apa –salahnya kita berusaha menunjukkan kita betul-betul menginginkan sesuatu  ( Walaupun Allah sudah mengetahui akan keinginan kita ) untuk memanifestasikan bahawa kita seorang hamba yang lemah. Semakin kita bersungguh meminta, semakin kita rasa diri kita hina dan merasakan bahawa kita hanya hamba. Hamba yang hina yang mengharap sesuatu dari Tuannya, yakni Allah Sang Pencipta. Allah sangat suka jika kita sedar dan merasai kita seorang hamba yang hanya meminta kepadaNya.  Didalam Al-Quran Allah ada berfirman 


Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka);
Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. 
( Al Baqarah 2:186)
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan