Jumaat, 8 Mei 2015

Pakar Inspirasi Saya


BAB 1: Pakar Inspirasi Saya

Sebenarnya ramai tokoh dan wajah-wajah yang selalu menjadi guru saya secara tidak langsung, namun salah seorang yang saya fikir banyak memberi impak kepada diri saya adalah Professor Dr. Muhaya Binti Mohammad, seorang doktor pakar mata dan beliau dikenali ramai sebagai Pakar Inspirasi.

Ramai yang bertanya bagaimanakah saya boleh mengenali beliau. Sejujurnya saya tidak pernah berjumpa dengan beliau secara bersemuka, namun saya agak mengenali beliau walaupun hanya mendengar ceramah beliau di radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM.FM)  dan di beberapa saluran TV tempatan juga tidak kurang juga saya menonton ceramah beliau di You Tube. Walau sekalipun kami tidak pernah berjumpa, namun beliau sememangnya memberi kesan positif yang cukup besar didalam diri saya. 

Beberapa tahun yang lalu, Allah telah mentakdirkan saya secara tidak sengaja terdengar ceramah seseorang di IKIM.FM. Saya menyangka penceramah tersebut adalah seorang ustazah. Saya agak tertarik dengan cara beliau memberi solusi dan bukan berceramah seperti ustazah yang lain mengikut pendengaran saya. Antara petikan kata-katanya yang saya saya ingat adalah “Kita selalu kan mudah lupa untuk berzikir pada waktu lain selain selepas waktu solat. Oleh itu, saya cadangkan kita membeli gelang yang ada manik yang mempunyai biji seperti tasbih kemudian memakainya, jika anda tersentuh gelang tersebut, cuba ingatkan diri anda untuk berzikir. Jadikan ia sebagai tabiat”. 

Dan antara kata-katanya lagi adalah, “Bagi sesiapa yang mulutnya selalu nak mengumpat dan bercakap jahat tentang orang lain, sila pakai getah ikat di tangan. Setiap kali mulut tanpa sedar tercakap benda yang jahat, tarik getah itu sampai sakit tangan kita. Kalau sakit yang itu kita tak dapat tahan, apatah lagi sakit menahan panasnya api neraka.” Mungkin kata-kata atau ceramah sebegini sudah biasa anda dengar di mana-mana, namun bagi saya, gaya penyampaian yang “ustazah” ini bawa adalah sangat menarik. Kemudian lama kelamaan barulah saya mengetahui bahawa beliau bukanlah ustazah tetapi seorang doktor Pakar Mata di Prince Court Medical Centre (ketika itu).


Bermula hari pertama saya “mengenali” beliau, hampir setiap minggu saya “duduk” depan radio untuk semata-mata ingin mendengar ceramah beliau. Pada waktu itu, tajuk slot tersebut adalah ‘Islam Itu Indah’ yang bersiaran langsung setiap Rabu pukul 10 pagi. Tajuk buku ini juga sedikit sebanyak diinspirasikan oleh tajuk slot tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan