Jumaat, 8 Mei 2015

Kisah Syurga Dan Neraka


Masihkah anda ingat ketika anda masih kecil dahulu, mungkin mak atau cikgu atau orang yang lebih tua dari kita selalu sahaja berkata:

"Jangan buat itu dan ini,  nanti masuk neraka!"

Jika mereka ingin suruh berbuat benda baik pula:

"Solatlah nak, mengajilah al Quran, baru boleh masuk Syurga"


Tapi sedar atau tidak, kita jarang sekali takut setakutnya dan gementar ketika mendengar perkataan neraka,malah kurang juga  kita bersungguh sungguh terliur dan “ketagih” ingin memasuki syurga bila mana syurga  disebut-sebut oleh sesiapa. Kita kurang “ berperasaan” yang sepatutnya dirasa ketika perkataan syurga dan neraka didengari.

Apa yang kita sudah tersilap sebenarnya?.  Agak mustahil jika kita katakan bahawa ramai  orang Islam yang masih tidak percaya akan kewujudan syurga atau neraka kerana sehingga didalam lagu pun ada orang menyebut berkenaan dengan syurga walaupun lagu tersebut bukanlah sejenis nasyid. 


Sebenarnya persoalan disini adalah adakah percayanya kita bahawa wujudnya syurga dan neraka itu percaya seorang yang beriman atau percaya yang sekadar tahu? Sebab itulah mungkin sungguh ramai yang tahu betapa ramai yang akan diseksa dineraka jika tidak solat namun hanya beberapa peratus sahaja yang bersungguh-sungguh nak lari dari termasuk dalam golongan ahli neraka itu. Sungguh hairan bukan?.




Syurga
Betapa ramainya antara kita yang mengetahui bahawa mahalnya harga tiket yang perlu dibayar untuk memasuki syurga akan tetapi tidak ramai yang mahu menanam di ladang pahala  didunia ini dan kurang juga memenuhi akaun akhirat dengan mata wang akhirat iaitu amalan soleh.

Jika ada yang baru ingin berkenalan dengan Islam dan bertanyakan, ada apa disyurga sebenarnya? Apa kisah yang menarik tentang ahli syurga sebenarnya?. Kenapakah kita bersungguh-sungguh nak memasukinya?. Sesungguhnya jika ingin menceritakan tentang keseronokan dan kenikmatan “hidup” di syurga, tidak cukup untuk diceritakan dibeberapa helai sahaja dibuku ini. Namun saya ingin berkongsi sedikit apa yang pernah diceritakan kepada saya dan ianya sesuatu yang pernah membuatkan saya tersentuh sehingga saya masih mengingatinya sehingga kini kemudian dapat menceritakan kepada anda pula.

Sesungguhnya di dalam syurga tersangatlah cantik dan jika anda ingin tahu secantik manakah ia, cuba anda bayangkan tempat yang paling cantik didunia ni  setakat mana yang anda boleh bayangkan. Sudah bayangan tempat teramat cantik itu? Cantik tempat itu dipenuhi pokok-pokok dan hiasan yang menyejukkan mata. Sungguh tenangnya tempat itu. Cantik teramat. Namun, ia pasti bukan syurga.

 Ya, itu bukan syurga. Kerana walaupun secantik dan segah mana pun tempat dalam bayangan anda itu, sudah pasti ia bukannya syurga.Malah tempat itu tidak akan  boleh menandingi cantiknya syurga kerana syurga itu terlalu cantik dan menarik. Syurga tempat terlalu istimewa sehingga kita tak boleh nak bayangkan pun bagaimanakah ia kerana ia sangat inclusive dan sungguh tak tercapai-dek-akal-kita untuk walau cuba berimaginasi akannya. 

Ya, minda kita memang diciptakan untuk secara automatik akan terbatas untuk membayangkan kecantikan syurga. Andai bayangan gambaran pun kita tak mampu berimaginasi, apatah lagi perasaan takjub dan nikmat berada dalamnya. Pasti tidak sama dengan mana-mana perasaan nikmat di dunia ini. 

Saya ada teringat suatu kisah yang ustazah saya ceritakan dahulu iaitu terdapat seorang yang akhirnya dibebaskan dari neraka iaitu selepas di" basuh " semua dosanya dan sudah selesai diazab dineraka. Kemudian dia berjaya  memasuki  syurga. Ketika berada di "pintu masuk" syurga  dia melihat sungguh banyak dan teramat nampak enak pokok buah-buahan yang terdapat  disitu.  

Oleh kerana keadaan  dirinya yang teramat lapar lagi dahaga membuatkan dia memakan buah tersebut dengan tersangat rakus. Seorang ahli syurga pun menyapanya dengan berkata " Kenapa makan buah itu sahaja, kenapa tak nak masuk dan cuba tengok apa lagi yang ada kat dalam syurga ni?”

Orang yang pertama tadi pun kata: " Tak, sebab aku merasa buah ini sangat sedap dan enak, aku rasa rugi kalau tidak memakannya dengan banyak".



Orang kedua:" Cuba kamu toleh ke belakang kamu dan tengok itulah kulit buah yang kamu makan selama kamu datang ketempat ini".

Orang pertama pun berpaling dan alangkah terkejutnya dirasakan kerana dia melihat  terdapat satu gunung  timbunan yang terdiri dari kulit buah yang dia makan,dan dia tak merasai pun bahawa dia sudah lama berada disitu, memakan hanya buah yang sama oleh kerana terlalu sedapnya buah tersebut. Sungguh jauh bandingan dengan mana-mana makanan di neraka dulu. Umpama “ buah nikmat” berbanding “ buah azab”.


Banyak ayat di dalam Al Quran yang Allah memberi bayangan kepada kita bahawa syurga itu didalamnya terdapat banyak sungai yang mengalir dan ianya sangat cantik untuk dipandang dan dinikmati. Sebenarnya, ia adalah satu simbolik bahawa syurga itu adalah satu tempat yang sangat mahal. Seorang ustaz ada memberi penjelasan yang sangat membuka mata saya tentang hal ini.


Beliau bertanya kepada hadirin yang mendengar tazkirahnya “Pernahkah anda menginap di hotel yang terletak berhampiran dengan pantai?”. Kemudian beliau menyambung, “Jika anda bertanya kepada pekerja hotel tersebut akan harga bilik dihotel  yang sama tapi bilik pertama adalah kedudukannya  menghadap pantai yang cantik, tetapi di bilik kedua tiada kelihatan pemandangan pantai, adakah kalian merasakan harga bilik tersebut akan sama?” Hadirin mulai berfikir apakah sebenarnya yang ingin disampaikan oleh ustaz tersebut.


Ustaz itu menjawab, “Tidak, walaupun layanan dan servis hotel untuk kedua-dua bilik itu adalah sama, namun harganya pasti berbeza.  Kerana pemandangan kearah laut dan pantai itu sangat cantik dan ia boleh membuat harga bilik hotel di bilik pertama lagi mahal. Sebenarnya saya ingin memberi satu analogi tentang bahawa Allah sebenarnya sedang memberitahu kita bahawa syurga itu tempat yang tersangat mahal dan cantik dan kerana itulah banyak dikaitkan sungai dan air mengalir dengan syurga itu sendiri. ” 


Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga Adn (tempat tinggal yang tetap), yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda akan mereka dan merekapun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya. ( Al Bayyinah :8) 


Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami akan masukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Mereka beroleh dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang suci bersih, serta Kami masukkan mereka ke tempat yang teduh yang sentiasa dinaungi.((An-Nisaa' 4:57) 






Neraka
Neraka pula bagaimana? Di sini ada sedikit kata-kata persoalan yang kita boleh bertanya dan bermuhasabah melaluinya:



1) Jangan merasa neraka itu tidak muat untuk kita masuki oleh kerana kita tahu ramai yang "layak" memasukinya. Hal ini kerana,  jika dilemparkan batu dari atas neraka,70 tahun kemudian barulah batu tersebut sampai ke dasarnya. Padahal  sehari diakhirat bersamaan seribu hari didunia. Sungguh lama masanya. Malah, akhirat itu tiada akhirnya. Tiada titik penghujung.


MasyaAllah, sungguh luas sebenarnya neraka itu. Masih rasa ia tidak muat untuk menampung kita?.


2) Diakhirat nanti tidak akan ada pilihan ketiga. Jikalau seseorang  tidak memasuki syurga, sudah pasti dia akan masuk neraka, kerana  disana kita tidak boleh membuat pilihan seperti kita memilih hotel ketika mana kita bercuti. Namun kita boleh mencuba untuk tidak memilih neraka dengan menjauhi larangan Allah dan membuat apa yang disuruh-Nya ketika didunia ini. Adakah kita sudah berusaha menjauhi perbuatan ahli neraka?


3 ) Ramai diantara kita sangat mengimpi-impikan syurga tetapi selalu sahaja kita berbuat perkara yang menempah tiket keneraka. Kenapa ini boleh berlaku?

4 ) Kita bukan macam para nabi dan sahabat yang sudah dijanjikan syurga. Kalau mereka yang sudah pasti masuk syurga pun  selalu menangis dan bertaubat, berjihad dan berdarah sehingga syahid, juga beribadat hingga tak tidur malam. Kita pula macamana?


Semoga Allah menjauhi kita dari menjadi ahli neraka. Jom hayati  beberapa ayat tentang ahli neraka ini:
Mereka menjawab: "Wahai Tuhan kami! Engkau telah menjadikan kami berkeadaan mati dua kali, dan telah menjadikan kami bersifat hidup dua kali, maka kami (sekarang) mengakui akan dosa-dosa kami. Oleh itu adakah sebarang jalan untuk (kami) keluar (dari neraka)?"(Ghaafir 40:11) 


Dan (ingatkanlah perkara yang berlaku) semasa orang-orang yang kafir dan yang menderhaka berbantah-bantahan dalam neraka, iaitu orang-orang yang lemah (yang menjadi pengikut) berkata kepada pemimpin-pemimpinnya yang sombong takbur: "Sesungguhnya kami telah menjadi pengikut-pengikut kamu, maka dapatkah kamu menolak dari kami sebahagian daripada azab neraka ini?"
(Ghaafir 40:47) 


Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
(An-Nisaa' 4:56)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan