Jumaat, 8 Mei 2015

Betulkah niatku?


BAB 3 : Betulkah Niatku?


Setiap dari anda pasti pernah mendengar satu hadis nabi berkenaan dengan niat kan? Walaupun tidak mengingati keseluruhan hadis, satu ayat yang berbunyi “ Innamal a’maalu binniyat” pasti sudah anda hafal. Oh, anda tak faham bahasa Arab? Okey, dalam bahasa melayunya adalah” Setiap amalan bergantung pada niat”. Mudah sahaja maksudnya. Namun, adakah mudah menyebutnya  bermakna itu perkara yang mudah dan selalu kita lakukan? Pasti ada diantara nada yang terdetik untuk menjawab:
“Betul, aku selalu sahaja berniat  ketika nak beribadat”. Ataupun anda akan terfikir begini, “ Rasanya tak perlulah kita berniat ketika nak buat apa-apa, Allah kan Maha Mengetahui!”

Ketika masih kecil dahulu,  saya selalu sahaja mendengar tentang hadis ini dan saya mengira ianya hanya boleh diaplikasikan dalam ibadah khusus seperti solat, puasa atau haji semata, dan kalau  kita tak berniat  boleh jadi tidak sah ibadah tersebut. Begitu sahajalah apa yang saya tahu ketika itu. Adakah anda adalah golongan seperti saya itu dulu? Ataupun sekarang pun masih berfikir bahawa setakat itu sahajalah konsep niat sebenarnya?

Sebenarnya niat itu adalah satu lintasan hati yang kita reka dan sematkan dihati sebelum melakukan apa-apa. Ya, apa-apa sahaja. Bukan sekadar diawal solat dan untuk berpuasa sahaja. Malah segala gerak dan perbuatan kita boleh menjana pahala jika kita niatkan melakukan perkara tersebut hanya kerana Allah. Perkara yang biasa anda lakukan, walaupun nampak macam sudah terlalu biasa, boleh menjadikan padanya ada keberkatan, dengan berniat nak berbuat itu semata-mata kerana Allah.

Contoh yang senangnya adalah begini, jika anda adalah seorang pelajar, cuba tanya kepada diri sendiri “Kenapakah sebenarnya aku masuk universiti?”, ataupun” Kenapa aku susah-susah ambil bidang yang sangat susah ni sebenarnyai?” Apakah  jawapan yang terkeluar dan terlintas di benak kita? Pasti ada yang secara langsung akan terfikir,  “Aku nak kerja yang bagus yang mempunyai gaji banyak, baru lah bahagia hidup ini kan?.” Ataupun “  Alah, aku bukan minat sangat pun kursus ni, ibu bapa aku yang suruh sebenarnya,” ataupun “Aku ikut takdir aku sahaja ni, tiba-tiba dapat jadi pelajar terbaik sekolah, kemudian dapat masuk bidang perubatan”. Hmm, yang mana satukah anda? Kebanyakan, itulah jawapan yang kita sering dapat jika bertanya kepada golongan yang memasuki universiti

Jarang sekali rasanya jika ada yang jika ditanya, kita akan mendapat jawapan ini ” Aku masuk universiti, ambil kursus yang hebat seperti ini sebab aku nak menunjukkan yang Islam itu hebat, aku nak setanding dengan non-muslim”  Ataupun  “Aku ambil course professional ini hanya kerana Allah, aku nak bersedekah dengan banyak kepada saudara seislam di negara lain kalau nanti aku mendapat gaji yang banyak!”. Sungguh hebat jika andalah yang berada digolongan ini. Yang sudah berniat seperti ini. MasyaAllah.


Tapi, jika andalah orang yang berada di golongan yang menjawab bahawa duit, pekerjaan, danpangkat yang menjadi faktor penolak dan menjadi perangsang untuk anda belajar, masih belum terlambat untuk anda baiki kembali niat anda, agar jadikan  belajar anda itu kerana Allah dan hanya kerana Dia jugalah kita menghabiskan masa kita dan berpenat  lelah. Mungkin jika kita tidak meniatkan belajar kita adalah kerana Allah, duit  dan pekerjaan sahajalah yang akan kita dapat nanti didunia ini, tanpa akaun pahala kita bertambah untuk akhirat. Alangkah ruginya jika anda belajar dalam jangka masa yang lama seperti dalam kursus perubatan atau pergigian selama 5 atau 6 tahun  kemudian anda tidak mengutip pahala dengannya. Sungguh rugi.

Namun, ingin meniatkan berbuat sesuatu kerana Allah itu bukanlah semudah dan seumpama menampal satu nota yang bertulis” Sahaja aku berbuat itu dan ini kerana Allah” kemudian menampalnya dihati anda. Sesungguhnya ia memerlukan latihan hati dan keazaman yang sangat kuat, sehingga  tidak mustahil jika anda mampu untuk berkata begini kelak:

“Aku tidak akan makan kalau bukan kerana Allah. Aku makan sebab aku nak tenaga, nak buat suruhan Allah”

Ya, jika  anda makan, belajar, berpakaian semata mata hanya kerana Allah, hidup anda akan bahagia, dilimpahi pahala yang tak putus-putus kerana setiap pekerjaan yang diniatkan kerana Allah akan ditulis sebagai ibadah. Sungguh mudah bukan untuk beribadah dan mendapat pahala sebenarnya?.
Jom hayati firman Allah didalam ayat ini:

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.
(Al-Hasyr 59:18) 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan