Jumaat, 8 Mei 2015

Logam Itu Bukan Sekadar Metal




Adakah anda pernah mendengar sebuah hadis tantang logam? Apakah yang terkandung sebenarnya dalam  hadis logam itu? Adakah didalamnya Rasulullah ada menceritakan secara terperinci kepada kita tentang logam?  Sebenarnya betul, Nabi ada menyebut perkataan logam, namun baginda tidaklah menerangkan secara sepenuhnya tentang logam, namun baginda mengumpamakan manusia adalah seperti logam. Apa yang Nabi kata adalah:

“Manusia seperti logam, terpilihnya mereka semasa jahiliyyah terpilih juga mereka semasa Islam, sekiranya mereka faham”

Jika inilah pertama kali anda mendengar hadis ini, pasti agak sukar untuk anda memahami apakah yang ingin Rasulullah sampaikan melalui hadis ini bukan?. Kenapakah kita yang bernama manusia ini boleh diumpamakan seperti logam?.Adakah kita seperti logam dari segi kerasnya ataupun kerana kita juga berasal dari tanah? Cuba anda fikirkan, adakah dari segi fizikal kita adalah sama seperti logam? Pasti tidak bukan, kerana kita diciptakan dan terdiri dari tanah, bukannya logam yang keras dan kuat itu. Namun ada satu contoh yang boleh kita gunakan untuk memahami hadis ini.

Contoh logam  yang kita biasa dengar adalah emas. Emas  adalah sejenis logam yang perlu digali dan dicari didalam tanah yang tersangat dalam. Kalau sekalipun logam itu dijumpai di lombong yang kotor, ia tetap dipanggil emas walaupun bentuknya mungkin belum lagi cantik. Manakala logam yang sama yang telah dibentuk lagi digilap kemudian ditayangkan sebagai sejenis barang kemas yang kita selalu kita nampak ketika membeli belah di shopping complex itu juga dipanggil emas.

Ya, logam di lombong dan logam yang berada dikedai barang kemas adalah logam yang sama iaitu emas. Namun jika anda diberi pilihan, logam yang manakah yang ingin anda  miliki? Seorang yang berfikiran waras pasti akan memilih pilihan kedua kerana emas yang sudah dibentuk itu terus boleh digunakan dan dipakai dan kelihatan lebih cantik walaupun kedua-dua emas tersebut mungkin mempunyai nilai yang sama.

Maksud hadis tadi mempunyai maksud tersirat, iaitu manusia sebenarnya adalah seperti logam dari segi nilai dan manfaat. Ini kerana manusia yang mungkin di waktu jahiliyahnya adalah seorang tersangat jahat yakni dia pernah sahaja melakukan semua kejahatan dan dia juga mungkin tidak pernah berbuat baik sekalipun, namun setelah dia insaf dan ditemukan cahaya hidayah, dia akan mengekalkan  bakat dan potensi yang ada dalam dirinya sebelum dia berubah itu dan digunakan kelebihannya itu untuk Islam. 

Potensinya seumpama logam di lombong  ketika dia dizaman jahiliahnya, kemudian menjadi seperti emas yang bernilai setelah dia berubah.Ya, walaupun dia sudah berhijrah dari seorang yang jauh dari Allah kepada seorang yang sangat dekat denganNya, namun tidak dibuangnya sekali kelebihan yang ada pada dirinya seumpama dia membuang karat jahiliahnya. Ini kerana, dia ingin cuba menyumbang bakatnya untuk memartabatkan agama ini, kemudian mengajak orang lain juga untuk turut sama berubah kearah kebaikan.

Contoh yang popular bagi hadis logam adalah kisah Umar Al Khattab, beliau adalah  seorang yang tersangat amat bengis dan tegas dizaman jahiliahnya, tapi masih mengekalkan kebengisan dan ketegasan dalam menakutkan musuh Islam ketika beliau sudah memeluk Islam. 

Ada satu contoh yang menunjukkan bahawa betapa  bengisnya Khalifah Umar, jika ada laluan yang dilalui oleh beliau, sudah pasti syaitan akan takut nak melalui mengunakan jalan yang sama. Malah selepas memeluk Islam beliau menjadi seorang yang sangat lembut dengan keluarganya walaupun sebelumnya beliau pernah menanam anak perempuannya hidup-hidup kerana kejahilannya akan agama.


Ramai sebenarnya yang sebelum ini hanya pandai menulis gosip dan isu-isu yang kurang bermanfaat, kemudian mendapat hidayah dan menjadi seorang  penulis yang memahamkan Islam kepada orang lain melalui tulisannya serta  “menyentuh” hati orang ramai melalui medan dakwah tersebut. Malah tidak kurang yang mula berdakwah melalui membuat video kerana mereka berbakat dan ingin menyumbang dalam bidang itu.

Malah, ramai juga yang sebelum faham akan Islam dengan sebenarnya, hanya pandai menggunakan mulutnya untuk berkata-kata perkara yang sia-sia kemudian dia berubah dan hanya mengeluarkan perkataan dari lidahnya untuk berceramah dan berdakwah memahamkan orang lain tentang Islam pula.

Setiap daripada kita ada potensi dan kelebihan masing-masing. Cuma adakah selama ini kita hanya menggunakan bakat kita itu untuk perkara kebaikan ataupun sebaliknya kah? Itu adalah perkara yang perlu kita renungkan dan bermuhasabah sebentar. Namun jika sekalipun anda tidak merasai dan menjumpai apa apa potensi yang anda boleh gunakan untuk digunakan untuk menyebarkan dakwah, ketahuilah bahawa keimanan anda yang meningkat saban hari itu juga merupakan potensi sebenarnya. Malah jika benar keimanan anda tinggi, sudah pasti ia akan terserlah melalui akhlak anda yang baik, seterusnya ia juga boleh menjadi “magnet” yang boleh “ menarik” non-muslims untuk mendekati Islam. Ya, iman juga satu potensi. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan