Jumaat, 8 Mei 2015

Aku Mahu Tenang




Semua orang didunia ini jika ditanya adakah mereka mahukan perasaan tenang pasti mereka akan menjawab bahawa mereka mahu. Itu soalan yang sebenarnya sudah diketahui akan jawapannya . Tetapi tidak semua orang tahu bagaimana cara untuk menjadi tenang bukan?. Sebenarnya kenapakah semua orang mahukan ketenangan?.Ketenangan hidup sangat penting kerana dengan adanya ketenangan itu, kita pasti akan lebih mudah tersenyum, kemudian menjadi orang yang tidak suka marah-marah dan dengan izin Allah semua perkara akan menjadi mudah jika adanya ketenangan dihati. 

Ibu bapa yang tenang pasti akan melahirkan anak-anak yang tenang. Guru-guru yang tenang akan secara automatiknya mendidik pelajarnya serta mengalirkan aura kepada mereka agar menjadi tenang juga. Begitulah juga bila mana seorang bapa yang mudah marah, secara tidak langsung memberi contoh yang tidak baik dan berkemungkinan anak-anaknya juga menjadi seorang pemarah apabila mereka dewasa nanti.

Kita semua mahukan ketenangan bukan?. Tapi bukan semua diantara kita yang sedar bahawa diri kita sebenarnya masih tidak berapa tenang.  Sebelum kita mengetahui cara untuk menjadi tenang, kita kena tahu dulu bahawa terdapat dua golongan jika diasingkan tahap kesedaran ketenangan yang mereka miliki.

Apabila seseorang itu merasakan bahawa dia sudah dalam keadaan hidup yang tenang dan dia tidak mencuba untuk menjadi seorang yang  lebih tenang walaupun dipandangan orang lain, dia belum lagi tenang sebenarnya, dia termasuk di dalam golongan pertama, iaitu seseorang yang tidak menyedari bahawa dirinya bukanlah sepenuhnya sudah berada dalam zon tenang tetapi dia tertipu dan sudah teradaptasi dengan kehidupan penuh dengan masalah sehingga dia sudah tidak sedar yang dia belum mencapai tahap ketenangan sebenar.

 Manakala orang yang berada di golongan kedua pula ialah orang yang sedar bahawa dia sedang tidak tenang, tetapi dia masih tercari-cari dan tidak tahu cara yang bagaimanakah untuk menjadi tenang. Walaupun dia sebenarnya sudah tenang, namun dia berusaha ingin mengekalkan ketenangan itu dengan berusaha melakukan sesuatu.

Cuba anda fikir-fikirkan, anda sebenarnya berada di golongan yang mana?. 
Saya rasa ramai diantara kita berada di golongan kedua iaitu kita tahu bahawa hati sedang gundah dan selalu resah, malah selalu juga selalu mempunyai masalah, tetapi kita tidak tahu dengan cara apakah mahu diselesaikan masalah tersebut, ubat yang bagaimanakah yang sesuai untuk digunakan bagi merawat hati yang resah berdebar tidak menentu itu bukan?.

Anda mahukan ketenangan?. Betulkah anda mahukan ia?. InsyaAllah boleh, tetapi untuk mendapatkannya ada syarat yang perlu anda dilunasi. Ianya  bukanlah sebuah bayaran,  bukan juga makanan, tetapi suatu perubahan. Tetapi bukanlah  saya ingin menyuruh anda bertukar seperti Ultraman, atau Powerpuff Girl atau menjadi super saiya kegemaran budak-budak , bukan…Tetapi anda perlu sedikit berusaha untuk mengubah cara anda berfikir.Ya. Tapi pasti ada yang akan tertanya-tanya apa kaitannya dengan mengubah cara berfikir dan ketenangan? Bukankah terang lagi tak perlu nak suluh wujud  akan kaitannya?  Masih kabur-kabur dan tidak nampak?.

Baiklah, cara kita berfikir bukan sahaja boleh merubah hati kita menjadi lebih tenang, malah keseluruhan hidup kita juga mungkin akan mulai berubah, bukan hanya 100%, tetapi mungkin 360 darjah dalam hidup anda juga akan turut berubah. Jika kita mengubahnya menjadi positif, positiflah hasil yang kita akan dapat, jika semakin negatif kita berfikir begitu jugalah hasilnya.

Tapi bagaimana mahu mengubah minda kita sebenarnya?. Ramai juga diantara kita yang kebanyakannya sudah telalu lama “bersahabat” dengan si fikiran negatif , sehingga ia sudah menjadi terlalu sebati dalam diri juga mindanya.  Mungkin juga dia mewarisi fikiran  negatif ataupun “terjangkit” dari seseorang samada dari moyang, nenek, mak, serta keluarga juga sesiapa yang  jenis seangkatan dengannya, malah fikiran itu seolah-olah menjadi suatu  barang kemas pusaka yang diwarisi pula. 

Neneknya berfikiran negatif, maknya suka marah-marah, anaknya selalu rasa menyampah. Seolah-olah satu genetik yang diwarisi pula kelihatannya kan?. Tetapi sebenarnya bagaimanakah mahu merungkai serta mengubahnya?. Bagaimana jika ia seperti “saka” yang terasa susahjika ingin dibuang?. Apakah cara ingin mengikis malah membuangnya, apatah lagi menggantikan fikiran tersebut dengan sesuatu yang lebih baik sebenarnya?. Tahukah anda akan caranya?

Pertama sekali, apa yang anda perlu dan kena lakukan adalah, dengan cuba mengubah cara anda melihat sesuatu kerana cara kita melihat perkara di sekeliling kita sangat mempengaruhi perubahan fikiran kita. Disaat perasaan negatif bertandang di fikiran anda seumpama perasaan marah atau tertekan,  cuba anda kenalpasti kenapakah anda perlu nak marah atau stress sebegitu?. Adakah marah itu adalah  marah kerana Allah ataupun tidak?. Adakah tertekan anda itu perkara yang membuat anda lagi efisyen ataupun semakin tidak?.

Adakah kita marah dan tertekan sebab orang berkata tentang fizikal kita iaitu kita tak cantik, atau kerana mereka mengejek tudung kita tidak lawa sahaja ke?.
Adakah kita marah anak kita sebab mereka malas belajar atau bersepah merata-rata atau lebih marah ketika mereka tidak bersolat?. Biasanya marahkan mereka sebab agama ataupun dari segi akademik lagi kerap?.

Ataupun adakah  anda lebih marah ketika ada yang menghina diri  anda berbanding marahnya anda jika yang memperlekehkan agama anda?.

Cuba kenalpasti sejenak sebelum kita nak marah-marah atau ketika rasa tertekan  itu adakah ianya kerana dunia semata-mata ataupun ianya marahkan manusia kerana Allah?. Marah kita itu adalah mengikut iman ataupun nafsu sahaja sebenarnya ketika itu?  Marah kita selama ini adakah mengikut Nafsu Mutmainnah yang baik, ataupun Nafsu Ammarah yang buruk?.

Jika banyak yang kita marah-marah selama ini hanya sebab dunia dan bukan kerana Allah alangkah sudah ruginya kita, kerana sudah berapa banyak badan kita telah mengeluarkan hormon-hormon buruk kemudian ia berfungsi untuk memudaratkan dan meletihkan badan dan minda kita pula. Hasilnya kehidupan kita kurang efektif, juga menjadi magnet untuk menarik situasi negatif yang lain pula. Kemudian perkara negatif itu berganda-ganda pula berlaku. Satu demi satu. Tiada kesudahan. Agak rugi kan jika marah yang diingatkan dapat menyelesaikan masalah, tetapi acap kali menimbulkan masalah lain pula.

Jangan pula kita menjadi seorang yang rugi kerana selalu mempunyai masalah dan tertekan minda hanya kerana manusia semata. Mungkin juga ia terjadi sebab kita terlalu sangat berfikir dan terdetik ayat ini dihati dan dimulut kita setiap hari,  iaitu ayat “ Nanti apa orang akan kata” dan “ Eh, nanti apa orang fikir” ketika anda ingin berbuat baik terutamanya. Kemudian apa-apa kebaikan yang ingin dibuat terbantut.  Mulai saat ini marilah sama-sama kita buang rasa dan perasaan takut akan apa orang kata, lagi bagus jika anda hanya fikirkan “ Kalau aku buat ini dan itu, apa Allah kata sebenarnya? ” 
 Kita juga mesti berusaha untuk membuang dalam percakapan kita dan fikiran beberapa ayat yang agak negatif  iaitu perkataan takut, risau, bimbang, kalau tak jadi, masalah dan banyak ayat negatif yang lain yang kebanyakannya sudah terlalu sebati sehingga mungkin sudah menjadi skrip seharian hidup kita. Apa kata kita cuba mengantikannya dengan perkataan yang lebih positif iaitu perkataan syukur, suka, redha, usaha, cabaran, boleh serta bermacam  perkataan positif lain yang boleh membantu kita menjadi lebih positif dan hasilnya  hidup kita InsyaAllah kita akan lebih tenang dan bahagia.

Konklusi di bab ini adalah, cuba kita fokus mencari ketenangan hidup dengan berusaha merubah cara kita berfikir iaitu jangan suka marah-marah jika bukan kerana Allah. Jangan juga selalu berfikir akan apa orang akan kata disaat ingin berbuat kebaika serta bercakap hanya perkara positif sahaja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan