Jumaat, 8 Mei 2015

Baru atau sudah berumur sekian

BAB 2 : Baru atau Sudah Berumur Sekian?

Cuba anda bayangkan sejenak dan cuba mengingat kembali,  pada saat dan detik ini, sudah berapakah umur anda sebenarnya? Mungkin diantara anda ada yang berumur 18 tahun, ada 20-an  dan ada yang 30-an kan? Kini saya ingin bertanya, apakah perasaan setelah anda menyedari usia sebenar adalah sekian-sekian tahun? Adakah anda merasakan anda “baru” berumur sekian ataupun “ sudah” berumur sekian? Adakah anda merasakan masih muda ataupun sudah sepatutnya matang dengan usia tersebut?

Jika saya berumur 20-an dan merasakan bahawa saya “ baru”  berusia 20  tahun lebih, yang masih rasa tiada apa-apa tanggungjawab, yang masih dalam fasa yang hidup ini hanya untuk bergembira sahaja, saya sudah silap sebenarnya. Sebenarnya diusia ini, saya sepatutnya berkata bahawa saya “sudah” berumur  20 tahun  lebih, iaitu sudah menjadi seorang yang mempunyai  banyak tanggungjawab untuk dibuat dan seharusnya saya sudah berupaya berfikir dan bertindak secara bijak seperti sangat matangnya tindakan Sultan Muhammad Alfateh yang mampu membuka kota Costantinople  walaupun pada ketika itu umur beliau masih dalam lingkungan usia muda seperti saya ketika ini. 

Saya sepatutnya bertanya pada diri, sudah  berapa banyakkah rasanya pahala yang aku kutip selama aku berlantaikan bumi dan beratapkan langit selama ini? Ataupun  selama ini aku hanya membuat malaikat dibahagian kiri sahaja yang banyak “bekerja”?. Adakah saya sudah berusaha menyediakan bekalan pahala ataupun masih menjadi seorang yang tidak cakna akan dosa pahala yang dilakukan oleh diri sendiri.  Hal ini membuatkan saya tiba-tiba saya teringat akan satu ayat Al-quran ini:

(Sangatlah dahsyatnya huru-hara hari itu, sehingga orang-orang yang bersalah merasa) pada masa melihatnya, Seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu petang atau paginya sahaja)- (An-Naaziat 79: 46 )


Begitulah gambaran keadaan yang manusia akan rasakan bila tibanya hari kiamat kelak, malah mungkin itu juga apa yang kita akan rasakan disaat kiamat kecil iaitu kematian datang menjengah kita disaat tiba masanya. 

Saya pernah  belajar sedikit tentang fisiologi pasal otak dan saya rasa terpanggil  untuk mengaitkan  situasi umur dan kematian yang diceritakan dalam ayat yang kita bincangkan ini terutamanya  tentang daya ingatan . Jika  saya bertanya kepada anda tentang satu persoalan iaitu adakah anda mampu mengingati semua peristiwa yang pernah berlaku dalam hidup anda tidak kira samada peristiwa itu penting ataupun tidak? Saya agak yakin bahawa jawapan yang akan keluar difikiran anda adalah “tidak” bukan?. 

Ya, kita tidak mungkin dapat mengingat semua yang pernah kita lalui sepanjang kita hidup sejak dari kecil sehingga ke umur kini walau sebijak mana pun kita ini, dan walau sekuat mana pun ingatan kita . Kebanyakan daripada kita hanya akan mengingati sesuatu perisiwa yang penting dan bermakna sahaja dalam hidupnya kerana kita diciptakan untuk mempunyai daya ingatan yang  agak terbatas dari mengingat semua perkara.

Contohnya jika kita sekarang sedang berumur 21 tahun , kalau diberi peluang untuk menceritakan tentang apa yang telah kita lalui sepanjang hidup selama itu dalam masa beberapa jam tanpa henti sekalipun, ia pasti mengambil tempoh kurang dari sehari untuk bercerita bukan jika dijumlahkan jam-jam tersebut. Ya, ingatan kita sangat terbatas untuk mengingat secara detail setiap  hari, minggu mahupun bulan-bulan tentang peristiwa yang pernah kita lalui.
 Begitu juga hakikatnya bahawa kita tidak akan mampu mengingati setiap detik sejak dari kecil apa yang kita pernah alami dan jika ditanya pada akhir hayat nanti, pada saat malaikat maut menyapa kita,  kita akan menjawab bahawa seolah-olah kita baru hidup dengan sangat sekejap walaupun ketika itu kita mungkin berumur 50 tahun atau 60 tahun.  Ya, samada pada ketika itu sedang terjadinya kiamat besar seperti dalam ayat diatas, mahupun kiamat kecil iaitu kematian, manusia akan merasa dia hidup didunia hanya sepetang  atau sepagi sahaja.


Kesimpulannya, alangkah ruginya kita jika kita hidup selama ini, yakni  berusaha dan bersusah payah untuk memenuhi “keperluan hidup” yang  sebenarnya sangat pendek ini sahaja berbanding memenuhi “tujuan hidup” kita untuk menjadi bekalan untuk kehidupan kita diakhirat nanti. Alangkah bahagia dan beruntungnnya orang yang beriman dan beramal soleh, iaitu golongan yang pada mata kasar kita, kita melihat mereka hidup dan menjalani kehidupan dunia seperti kita, padahal pada masa yang sama, mereka sedang membuka akaun mereka di akhirat juga. Melalui amalan baik mereka, mereka sedang mem“ bank-in” pahala yang berguna untuk menjadi mata wang di negeri akhirat sana.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan