Jumaat, 8 Mei 2015

Tahap Iman Dan Ilmu




Sebenarnya, setiap perbuatan yang kita buat, malah setiap percakapan yang keluar dari mulut seseorang di antara kita sangat bergantung pada tahap dan keimanan kita pada masa tersebut. Di saat diri merasakan iman dihati sedang melonjak naik, kepada semua orang kita akan cuba menolong memudahkan urusan mereka secara sukarelanya tanpa sebarang paksaan, tanpa mengharap balasan walaupun sekadar ucapan terima kasih sekalipun. Kita mudah untuk ikhlas. Kita tenang dalam menolong. 

Di saat itu juga, terasa banyak dan sungguh sekali kita belajar ilmu akademik atau agama, malah dengan jayanya dapat meniatkan semua benda yang dibuat adalah kerana Allah. Ikhlas dan Istiqamah itu dirasakan senang seolah-olah makan kacang yang telah siap dibuka kulitnya. Sungguh mudah dirasakan.

Begitu juga dengan kata- kata, di saat iman begitu kemas dan rapi didada, setiap ayat yang keluar melalui vocal cords (bahagian penghasilan suara) pasti ditapis dan lidah akan sentiasa bersambung dengan otak untuk memastikan tiada antara kata kita yang menyakiti hati orang lain. Kita sungguh berhati-hati.

Dan sebaliknya pula yang berlaku apabila software iman didalam diri mulai dijangkiti virus. Ketika itu, paksa dan sepak terajang pun belum tentu mampu menggerakkan kita untuk berbuat perkara dan amalan yang sama seperti mana sungguh solehnya kita disaat iman setinggi bangunan KLCC pada suatu ketika dulu.

Selain daripada bergantung tahap keimanan, seseorang juga akan bertindak, bercakap, dan berfikir mengikut tahap ilmu yang ada difikirannya. Bukankah tindakan si budak tadika akan jauh bezanya dengan seseorang yang mengambil ijazah mahupun yang ambil pHd? Begitu juga pemikiran seseorang yang ambil sains tulen berbanding yang ambil sains politik, pemikiran dan ilmunya pasti berbeza.
.
Contoh yang lebih senang adalah diri anda sendiri, bukankah pemikiran dan ilmu (agama atau dunia) di saat anda membaca buku ini tersangatlah  jauh berbeza dengan diri dan pemikiran anda ketika masih comot dan kolot di zaman tingkatan satu dahulu.  Begitu juga dengan tahap keimanan dan pengalaman, semakin bertambah umur, semakin banyak pula kematangan itu meningkat. 

Baiklah, kita sudah mengenalpasti kenapa seseorang itu boleh berbuat atau mengatakan sesuatu, iaitu ia bergantung pada tahap ilmu dan iman seseorang itu pada masa itu. Maka, dalam kehidupan bermasyarakat, dalam keadaan kita banyak berkawan, pasti ada orang yang pemikiran dan tahap ilmunya tidak sama dengan kita. Golongan ini akan membuatkan satu sama lain kadang- kadang rimas dan kemungkinan untuk seseorang saling merasa tidak puas hati itu pasti ada.

Oleh itu, setiap kali kita berbeza pendapat dengan orang yang nampak lagi kurang ilmu dari kita, menjadi tugas kita untuk menyampaikan serta memahamkan dia akan sedikit ilmu yang kita lebih tahu itu tetapi mestilah dilakukan dengan cara berhikmah. Sepertimana kita juga mahu orang berhikmah ketika  bercakap dengan kita, kita juga perlu buat begitu lah kan? 

Begitu juga jika ada seseorang yang membuat kita merasa tidak puas hati dengan kenegatifan nya, marilah kita memujuk diri dengan berkata " Mungkin ilmu dan tahap keimanannya setakat itu disaat ini,  maka aku kena doakan dia, agar ilmu dan imannya bertambah, kemudian barulah akhlak dia semakin baik" ataupun begini, " Bukankah  aku dulu pun macam dia juga, jadi, sebagaimana orang bersabar denganku dulu, apa salahnya aku juga bersabar sedikit dengannya." Alangkah bagusnya jika kata-kata ini mengingatkan anda disaat anda mulai kurang bersabar dengan perangai orang yang pasti berlainan tahap pemikiran dengan kita.

Oleh itu, jika anda seorang doktor, janganlah anda pelik kalau anda jumpa seorang yang hanya lepasan Spm yang agak tidak sama dengan pemikiran anda.
Jika anda seorang pelajar syariah dan ijazah agama pula, jangan melatah jika ada yang tidak mengenal pun apa itu Alif Ba Ta tidak dapat menerima pendapat anda.

Sesungguhnya kita diciptakan berbeza. Bukan sekadar kulit dan rupa. Dalaman juga, iaitu pemikiran antara kita pasti juga tidak sama. Maka, raikan perbezaan. Jadikan ianya peluang, bukan titik permusuhan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan