Jumaat, 8 Mei 2015

Ujian Hidup



Kita sering membayangkan bahawa ujian, masalah atau halangan itu adalah sesuatu yang menyakitkan, meletihkan, juga sesuatu yang menghalang kita dari merasa bahagia dan gembira, seperti kata-kata “ Kusangka cerah sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari’. Adakah betul sangkaan kita itu?. Begitukah maksud ujian bagi anda?. Apakah yang terlintas diminda anda disaat anda diuji dan diberi masalah?.

Disini ada satu analogi tentang ujian. Di sebuah kampung, terdapat seorang mak cik tinggal bersendirian di rumah usangnya. Disebabkan musim sekarang adalah musim tengkujuh, selalu sahaja hujan turun setiap hari  dan disebabkan atap rumah mak cik itu ada yang berlubang, air selalu bocor  dan menembusi atap tersebut dan membasahi lantai di bahagian dapur rumahnya. Selama seminggu, setiap hari mak cik ini akan mengemop lantai dan mengeringkan tempat yang basah dan licin tersebut, sehingga sakit segala otot dan tulangnya. Selalu sahaja dia penat buat kerja yang berulang kali tersebut.

Apa yang kita boleh dapat dengan cerita ini?.  

Sebenarnya, atap yang bocor dan lantai yang basah itu diibaratkan masalah dalam hidup kita.Malah cara mak cik itu sebenarnya salah, kerana dia hanya cuba menyelesaikan masalah yang dia nampak sahaja, iaitu mengeringkan lantai yang basah. Tapi dia terlupa sesuatu. Dia lupa membaiki punca masalah itu sendiri, dia lupa nak pandang atas, melihat bahawa atap itu yang sepatutnya ditampal, bukan sekadar mengeringkan lantai yang basah semata. Sebab itu dia lagi penat kerana tidak mencari punca sebenar air hujan itu boleh bocor ke dapurnya. Dia buat kerja yang berulang kali tanpa membaiki sumber dan punca dari mana air tersebut memasuki rumahnya.  

Sedar ataupun tidak sebenarnya kita juga begitu, kita selalu memfokuskan bagaimanakah  cara ingin menyelesaikan masalah yang kita nampak, kita lupa nak baiki hubungan dengan Sang Pencipta Masalah itu sendiri. Iaitu Allah.Ya, kita lupa, jika Allah yang cipta masalah kita, dia pasti ada penyelesaiannya juga. Pasti. Kita terlalu melihat akan masalah tersebut tanpa mengenalpasti kenapakah masalah itu wujud, serta kurang belajar dari setiap masalah tersebut. Kita lupa hakikat bahawa Allah yang mencipta dan memberi semua itu. Kita juga lupa bahawa mungkin hubungan kita dengannya dalam keadaan kurang baik kerana dosa-dosa yang kita buat. Mungkin saja bukan? 

Namun akan ada juga yang bertanya: " Tapi, bagaimana pula jika hubungan dengan Allah sudah dirasakan dalam keadaan yang bagus, kenapa ada juga kesempitan dan kesusahan  yang melanda ?”.  Tidak kurang bukan yang terdetik dihatinya untuk bertanyakan hal ini kan?Jawapan yang diambil dari sabda Nabi yang boleh memujuk dan mungkin menenangkan hati kita ialah: 

"Tiada seorang mukmin ditimpa rasa sakit, kelelahan (kepayahan), diserang penyakit atau kesedihan (kesusahan) sampai pun duri yang menusuk (tubuhnya) kecuali dengan itu Allah menghapus dosa-dosanya." (HR. Bukhari)

Oh, Allah nak mengampunkan dosa kita yang tersangat banyak itu rupanya. Patutlah diberikan kita sakit, sedikit tertekan kan?.  Saya juga teringat ada satu kisah dimana pernah Saidina Umar menangis, apabila ditanya, dia kemudian menjawab:

 "Allah dah tak sayangkan aku dah ke, kerana sudah lama Allah tak bagi ujian kepadaku ” (versi penulis).  Subhanallah, itulah sahabat nabi, sungguh mereka sangat menghargai setiap ujian dan kesempitan yang Allah berikan kerana melalui kepayahan dan kesulitan itu, mereka melihat ia adalah tanda kasih sayang Allah.

Mulai hari ini, cuba kita memandang setiap ujian dalam hidup kita dengan pandangan berbeza dan merasakan bahawa ia adalah satu cara Allah untuk menegur agar kita mulai mendekati-Nya. Ini kerana kadang-kadang kita tidak sedar, semakin lama, semakin kita mula  menjauhinya, maka diberikan sedikit ujian untuk kita sedar akan kelalaian itu dan semoga kita berusaha menghampirinya kembali. Ujian adalah “ panggilan” dari Tuhan untuk hamba-Nya. Terpulang kepada kita ingin “ menjawab” panggilan itu ataupun menjadikan ia sekadar “ missed call” seperti selalu tertera di telefon kita.
Jom hayati dan bermuhasabah sebentar melalui firman Allah di ayat ini:

 "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yg benar dan, sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta." (Al Ankabut 29:2-3)


"...Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."  (Al Baqarah 2: 216)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan